suria

Gajah, Orangutan Borneo spesies terancam! MPOGCF komited selamatkan hidupan liar, pulihara alam sekitar

Gajah Borneo antara spesies yang diamanahkan untuk dipulihara dan dilindungi.

PENUBUHAN Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) di Sabah pada 2010 dengan tujuan utamanya untuk membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Pastinya cabaran semakin meningkat dalam usaha menyelamatkan dan memindahkan haiwan yang cedera atau terancam di habitat liar di seluruh negeri.

Keperluan ini semakin mendesak seiring dengan peningkatan kegiatan manusia yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar, seperti perhutanan, pembangunan tanah, dan pembukaan ladang.

Justeru, WRU berperanan untuk menangani konflik manusia-hidupan liar, yang sering berlaku apabila haiwan liar memasuki kawasan pertanian atau kawasan penempatan manusia dalam pencarian makanan atau tempat berlindung.

Orangutan Borneo antara spesies terancam yang cuba diselamatkan.

Sokongan MPOGCF

WRU juga menjadi rakan setia kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dalam menyampaikan mesej positif mengenai kemampanan minyak sawit Malaysia serta usaha pemuliharaan alam sekitar.

MPOGCF yang mewakili industri minyak sawit di Malaysia, memainkan peranan penting dalam menyokong WRU dengan memberikan sokongan kewangan yang signifikan.

Bantuan kewangan ini meliputi pelbagai aspek, termasuk pentadbiran dan operasi WRU, bagi memastikan usaha penyelamatan dan pemindahan hidupan liar dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Sokongan ini juga membantu dalam pelaksanaan program-program pemuliharaan yang lebih holistik dan menyeluruh, yang memberi manfaat kepada ekosistem serta meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya pemuliharaan alam sekitar.

Hairulazim (kiri) berharap hidupan liar dan komuniti dapat hidup harmoni bersama.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, berkata pihaknya memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan kewangan dan sumber kepada WRU.

"Dengan bekerjasama dengan mereka kami ingin menunjukkan bahawa industri sawit boleh memberi sumbangan positif kepada pemuliharaan hidupan liar serta melindungi biodiversiti dan komuniti tempatan dapat hidup harmoni bersama.

"Renjer WRU memainkan peranan penting dalam kejayaan program ini. Kami berharap dapat mencipta masa depan yang mampan di mana hidupan liar dan komuniti tempatan dapat hidup harmoni bersama," katanya.

Spesies terancam

Di antara semua spesies yang diamanahkan kepada WRU untuk dipulihara dan dilindungi, ialah Gajah Borneo dan Orangutan Borneo antara yang paling terancam.

Kedua-dua spesies itu mengalami ancaman serius kepada kelangsungan hidup mereka akibat kehilangan habitat semula jadi, pemburuan haram, dan konflik manusia-hidupan liar yang sering berlaku apabila mereka memasuki kawasan pertanian atau penempatan manusia.

Gajah Borneo, sebagai contoh, seringkali dilihat merayau ke kawasan pertanian atau ladang, yang menyebabkan kerosakan pada tanaman dan mengakibatkan ketegangan antara penduduk tempatan dan hidupan liar.

Begitu juga dengan orangutan Borneo, yang kerap kali terperangkap atau kehilangan tempat tinggal akibat pembalakan haram dan pembukaan ladang.

Pemasangan kamera bagi memudahkan pemantauan pergerakan hidupan liar.

Sehubungan itu, usaha-usaha penyelamatan dan pemindahan mereka ke kawasan yang lebih selamat adalah sangat penting untuk menjamin kelangsungan hidup kedua-dua spesies ini di Borneo.

Usaha ini melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta masyarakat setempat dalam memastikan kedua-dua spesies ini tidak hanya dilindungi, tetapi juga dapat kembali berkembang biak di habitat semula jadi mereka.

Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar, Daerah Kinabatangan, Sylvia Alsisto, pula memberitahu bahawa menangani atau mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar tiada penyelesaian cepat.

"Haiwan bergerak, mereka tidak tinggal di satu tempat. Apabila mereka berpindah, mereka akan kembali ke kawasan yang pernah menjadi rumah mereka.

"Ini bermaksud mereka akan bertembung dengan kawasan yang telah dibangunkan. Ia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam satu hari dan saya rasa salah satu istilah yang disebut dalam Pelan Tindakan Negeri untuk semua spesies adalah kewujudan bersama," katanya.

Artikel Lain