suria

Misi siasat ‘pulau hantu’ gagal, Langkawi meriah macam biasa! Bukan musim cuti sekolah pun tetap ramai

Langkawi masih menjadi antara destinasi pelancongan pilihan pelancong tempatan dan asing.

KECOH di media sosial tentang Langkawi dilabel sebagai 'pulau hantu' berikutan dakwaan kekurangan kemasukan pelancong.

Malah ada juga segelintir netizen mendakwa tidak berbaloi untuk bercuti di pulau legenda itu kerana harga makanan dan penginapan mahal dan mereka memilih untuk pergi ke Hatyai, Thailand.

Namun pemerhatian mStar di sekitar Langkawi baru-baru ini nyata berbeza dan dakwaan pekan atau pulau hantu itu adalah tidak benar kerana kebanyakan tempat dipenuhi orang ramai walaupun bukan pada musim cuti sekolah.

Menurut Pengurus Pelancongan, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Dr Azmil Munif Mohd Bukhari, dia tidak menafikan kehadiran pelancong agak berkurangan.

Bagaimanapun ia bukan bermaksud tiada langsung kemasukan pelancong sehingga boleh dilabelkan sebagai 'pekan hantu'.

"Viral kononnya Langkawi menjadi 'pekan hantu' adalah tidak benar, Langkawi masih menerima kemasukan pelancong. Saya setuju ada juga musim-musim pelancongnya kurang tetapi bukan tiada langsung.

Azmil menjelaskan mengenai dakwaan bahawa Langkawi sudah menjadi pulau hantu.

"Ini adalah situasi biasa bagi mana-mana destinasi pelancongan di dunia. Ada naik ada turun yang bergantung kepada pelbagai faktor.

"Di Langkawi kita lihat pada bulan November ini masih lagi meriah dan kami jangkakan Disember nanti akan lagi meriah," ujarnya kepada mStar.

Sementara itu Azmil berkata, adalah tidak wajar pengunjung menyamakan Langkawi dengan Hatyai kerana kedua-dua destinasi ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Hatyai adalah destinasi bukan saingan kepada Langkawi kerana tawaran sektor pelancongan di sana adalah berbeza. Langkawi mempunyai kekuatan sendiri iaitu khazanah alam yang tidak dapat di mana-mana tempat di dunia.

"Sebab itu Langkawi mendapat gelaran 'UNESCO Global Geoparks', bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan ini kerana keindahan alam semulajadi Langkawi tiada tandingan," katanya.

Pulau legenda ini masih menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Sementara itu pengusaha jet ski, Muhammad Ariff Amiruddin Ariffin berkata, kehadiran pelancong yang tidak putus membuatkan syarikatnya boleh beroperasi seperti biasa.

"Sejujurnya boleh kata, Langkawi memang penuh dengan pelancong daripada Malaysia dan luar negara.

"Pendapatan pun tiada masalah sebab ramai orang datang, saya boleh dapat RM3,000 hingga RM4,000 sehari... bermakna memang ramai yang datang.

"Walaupun ada orang cakap Langkawi mahal, sebagai peniaga saya rasa tidaklah terlalu mahal... sama je contohnya kalau dekat Kuala Lumpur nasi RM6 hingga RM7 kat Langkawi pun sama," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Aslam tak mampu poligami - Abby Abadi