suria

Padah terlebih mesra dalam pesawat, wanita ditahan selepas mendarat di Dubai... Penyeludup dadah tiba-tiba mengaku anak!

Orang ramai diminta berhati-hati di lapangan terbang agar tidak menjadi mangsa penyeludup dadah. - Foto Freepik

PERJALANAN seorang wanita ke Dubai tiba-tiba bertukar cemas apabila dia nyaris menjadi kambing hitam sindiket penyeludupan dadah.

Menurut mangsa yang tidak mendedahkan identitinya, kejadian bermula apabila dia berkenalan dengan seorang wanita sedikit berumur yang duduk di sebelahnya di dalam sebuah pesawat.

"Jika anda sering naik kapal terbang, hati-hati dengan jiran tempat duduk yang mesra dan terlebih ramah. Saya berdepan dengan situasi itu.

"Dia minta saya membantunya memasukkan beg ke dalam ruang bagasi di atas tempat duduk. Tapi tiba-tiba seorang lelaki yang duduk berdekatan datang menolong. Wanita tadi segera duduk dan memulakan perbualan.

"Namun ketika dalam perjalanan, kawan baru saya ni tiba-tiba mengadu sakit perut. Dengan baik hati saya memanggil pramugari," imbasnya.

Abstract blur and defocused seat in airplane interior for background

Jangan terlalu mesra dengan individu yang baru dikenali di lapangan terbang atau di dalam pesawat. -Foto Freepik

Bercerita lanjut tentang situasi itu, mangsa berkata wanita berkenaan sebenarnya cuba mewujudkan persepsi dengan orang sekeliling tentang hubungan antara mereka.

"Tiba-tiba dia panggil saya sebagai my daughter. Pramugari memberitahu saya bahawa tiada apa yang boleh mereka lakukan kecuali memberikan ubat tahan sakit dan tunggu sehingga mendarat.

"Kawan baru saya tu menangis dan berpeluh. Dia enggan melepaskan tangan saya. Semua orang anggap kami mengenali antara satu sama lain," katanya.

Rupa-rupanya situasi antara mangsa dan wanita itu di sepanjang perjalanan diperhatikan seorang lelaki yang menghidu ada sesuatu yang tidak kena.

Sejurus tiba di Dubai, penumpang lelaki berkenaan mendekatinya dan memberi amaran agar dia menjauhkan diri daripada wanita itu.

"Apabila mendarat lelaki itu menasihati saya supaya menjauhkan diri daripada wanita ini dan menjelaskan kepada kru kabin bahawa kami tidak punya sebarang kaitan.

pesawat

Kes individu diperdaya menjadi keldai dadah di lapangan terbang sering dilaporkan media sebelum ini. -Foto Freepik

"Ketika itu juga wanita tersebut merayu supaya saya tolong membawa beg tangannya.

"Saya berbelah bagi tetapi lelaki tadi memandang ke arah saya dan dengan tegas menggelengkan kepalanya. Dia memberitahu supaya membiarkan kru kabin mengendalikannya," ujarnya lagi.

Nampaknya situasi pelik di sepanjang perjalanan ke Dubai itu tidak terhenti begitu saja.

Ketika sedang menunggu di ruangan menuntut bagasi, mangsa dikejutkan pula dengan insiden kejar mengejar antara wanita tadi dengan anggota keselamatan.

"Semasa menunggu bagasi, saya nampak wanita tadi berlari membawa sebuah beg ke arah pintu keluar. Syukur pihak polis berjaya memberkasnya.

"Namun ketika dia dibawa ke bilik khas, wanita tadi terpandang ke arah saya dan dia terus memanggil saya my daughter, my daughter. Ketika ini baru saya tahu dia membawa dadah dan cuba mengaitkan saya," ceritanya lagi.

psawat2

Jaga barangan peribadi anda setiap kali menaiki pesawat. -Foto Freepik

Tambahnya, dia terselamat apabila berjaya membuktikan tidak mempunyai kaitan dengan suspek.

"Polis ambil pasport saya dan minta suspek beritahu nama dan maklumat peribadi saya jika benar kami mempunyai kaitan.

"Dengan izin Tuhan, saya tidak memberitahu nama saya ketika kami berbual di atas kapal terbang. Suspek gagal buktikan kami mengenali antara satu sama lain," katanya penuh kelegaan.

Pemeriksaan cap jari juga mendapati mangsa sebenarnya menjadi sasaran untuk dikaitkan dalam taktik penyeludupan dadah.

Mangsa berkata kejadian tersebut menjadi pengajaran besar agar dia lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya dilepaskan dengan nasihat jangan sekali-kali menyentuh bagasi sesiapa sama ada dalam pesawat atau di lapangan terbang.

"Mulai hari itu saya tidak kisah berapa banyak bagasi yang anda ada, sila uruskanlah sendiri. Saya juga tidak akan menawarkan kamu troli untuk meletakkan bagasi anda. Barang anda adalah masalah anda, itu polisi saya.

"Jika anda tidak dapat mencapai ruang di atas tempat duduk, dan saya adalah orang terdekat, sila hubungi kru kabin," ujarnya mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain