suria

Titik noktah feri Pulau Pinang selepas 126 tahun... bas air jadi pengganti

Perkhidmatan feri yang cukup ikonik di Pulau Pinang akan dihentikan.

FERI ikonik Pulau Pinang sejak 126 tahun lalu dikhabarkan bakal menghentikan operasinya tidak lama lagi.

Antara sebab perkhidmatan itu dihentikan adalah kerana ia terdedah kepada kerosakan selain kos penyelenggaran yang tinggi membuatkan feri itu bakal diganti dengan bas air.

ARTIKEL BERKAITAN: Langkawi tak pernah mengecewakan, percutian anda pasti lebih bergaya!

Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil alih perkhidmatan feri daripada Prasarana Malaysia Berhad bermula 1 Januari 2021 dan kini sedang giat membaik pulih terminal sedia ada serta menggantikan Rapid Ferry dengan bas air dalam tempoh 10 ke 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Sasedharan Vasudevan berkata, semua sistem sudah sedia untuk proses ambil alih dan tiga bas air untuk penumpang akan digunakan.



Sasedharan memberitahu feri sedia ada akan digantikan dengan bas air.

"Terdapat kekeliruan mengenai bas air ini. Ia bukan untuk mengangkut kenderaan. Sebaliknya, kami akan menyediakan dua feri roll-on/roll-off (Ro-Ro) untuk kenderaan beroda dua," katanya semasa temu bual eksklusif bersama The Star.

Sasedharan memberitahu bermula tahun hadapan, pengguna yang menaiki kenderaan perlu menggunakan dua jambatan Pulau Pinang untuk ke pulau dan Seberang Prai kerana perkhidmatan feri akan berhenti beroperasi.

"Oleh kerana kami tidak dibenarkan membawa kenderaan beroda empat, keutamaan kami adalah pejalan kaki.

"Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong baru-baru ini pada sidang Parlimen memberitahu hanya 200,000 kenderaan menggunakan perkhidmatan feri, sementara 1.2 juta adalah pejalan kaki.

"Keutamaan kami adalah penumpang yang menggunakan feri untuk pergi kerja setiap hari," katanya.



Pemandangan yang bakal menjadi kenangan.

Sementara itu, Sasedharan menjelaskan, seluruh kawasan di terminal akan dinaik taraf termasuklah lobi berhawa dingin untuk keselesaan penumpang.

"Sebagai nilai tambah, kita juga mempunyai Terminal Pelayaran Swettenham Pier Cruise yang berfungsi sebagai terminal tambahan untuk bas air dan kapal Ro-Ro yang banyak digunakan di negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina," jelasnya.

Mengenai persoalan mengapa perkhidmatan feri sedia ada tidak dihentikan secara berperingkat, Sasedharan memberitahu kebanyakan feri sedia ada sudah berusia lebih daripada 40 tahun dan tidak sesuai digunakan lagi.

"Feri sedia ada sekarang sudah lama dan sukar untuk mencari alat ganti. Itulah sebabnya kami akan menggunakan bas air. Bukan hanya bas air tetapi seluruh aspek terminal akan berubah dari segi penampilannya.

"Pihak kami juga merancang untuk memanfaatkan tanah di kedua-dua belah terminal dengan membina lebih banyak tempat parkir untuk pengguna dan pelancong," katanya.



Feri adalah antara tarikan pelancong jika ke Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, Sasedharan memberitahu tiada kenaikan harga sementara ini dan ia hanya akan diputuskan selepas terminal siap menjalani pengubahsuaian selain ia perlu diluluskan oleh kerajaan pusat.

"Langkah ini sesuai dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang merangkumi teksi air dan menerokai jalan air sebagai mod pengangkutan yang komprehensif selain jalan raya dan lebuh raya," ujarnya.

Awal tahun ini, kebimbangan mula tercetus dalam kalangan pengguna apabila perkhidmatan feri sering terganggu sehingga menyebabkan ramai pengguna mengalami kelewatan.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang turut ditangguhkan kerana gangguan teknikal hanya kepada dua feri iaitu Pulau Angsa dan Pulau Undan.

Dua feri yang lain - Pulau Talang dan Pulau Kapas terpaksa dihentikan kerana kedua-duanya perlu diselenggarakan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain