suria

Langkawi tak pernah mengecewakan, percutian anda pasti lebih bergaya!

The Ritz-Carlton, Langkawi merupakan resort pilihan ramai selebriti.

PANDEMIK yang melanda seluruh dunia ketika ini membuatkan ramai yang tersekat di negara sendiri. Jangan mimpi untuk bercuti ke luar negara.

Rebutlah peluang untuk bercuti di dalam negara. Percayalah Malaysia punya banyak tarikan hebat, yang berbaloi untuk dinikmati. Salah satu daripadanya ialah Langkawi. Pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri ini tidak pernah mengecewakan peminat percutian pantai.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak payah terbang jauh-jauh ke Eropah, apa kata nikmati keindahan musim sejuk di Sa Pa selepas pandemik berakhir

Keindahan dan keunikan alam semulajadinya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai pusat rujukan ‘geopark’ peringkat Asia Pasifik.

Sama ada anda golongan B40, M40 atau T20, Langkawi punya segalanya untuk dinikmati. Biarpun anda sudah menjejakkan kaki ke sini beberapa kali, percayalah pasti ada sesuatu yang baru menanti.

Bagi yang mendambakan sebuah percutian yang lebih bergaya dan istimewa, apa kata anda cuba beberapa aktiviti yang sedikit berbeza. Tak kenal maka tak cinta bukan? Belum cuba belum tahu!



Mengintai keindahan matahari terbenam di perairan Langkawi.

Sunset Dinner Cruise

Pelayaran untuk menikmati matahari terbenam daripada Tropical Charters ini kian popular dan ramai selebriti tempatan sudah mengikutinya. Pasangan pengantin baru patut cuba pelayaran 3 jam ini kerana ia mampu melakar detik-detik romantis bersama pasangan.

Pelayaran bermula kira-kira jam 5.30 petang setelah semua tetamu berkumpul di jeti Resort World (dahulu dikenali sebagai Awana Porto Malai).

Pelayaran ini memberi peluang untuk mengintai langit Langkawi yang indah ketika matahari terbenam. Selain itu, anda juga boleh mencuba salt water jacuzzi yang menyeronokkan! Aktiviti ini mesti cuba, jika tidak anda akan menyesal di kemudian hari.



Salt water jacuzzi mesti cuba apabila mengikuti pelayaran menyeronokkan ini!

Jika anda dan pasangan hanya mahu menikmati keindahan panorama yang terbentang luas, silakan. Tiada siapa yang menghalang atau mengganggu. Hidangan makan malam akan dihidangkan 15 minit minit sebelum matahari melabuhkan tirainya.

Sambil menjamu selera, nikmati keindahan matahari terbenam yang memukau mata memandang. Makanan yang dihidangkan juga cukup menyelerakan.

Ketika ini, pakej Sunset Dinner Cruise dijual pada harga promosi, RM150 untuk dewasa, manakala untuk kanak-kanak RM130.

Untuk maklumat lanjut bolehlah layari Tropicalcharters.



Island hopping dengan jet ski satu aktiviti yang cukup menarik untuk dicuba di Langkawi.

Jelajah Pulau Dengan Jet Ski

Rata-rata mereka yang sudah sampai ke Langkawi pasti pernah melawat Tasik Dayang Bunting, Pulau Singa Besar mahupun Pulau Beras Basah. Pulau-pulau yang terletak di Kepulauan Langkawi ini memang popular untuk pakej ‘Island Hopping’ yang boleh dibeli pada harga RM35 untuk seorang dewasa.

Bagaimanapun, cuba anda lari daripada kebiasaan. Jom! Jelajah pulau dengan jet ski. Terdapat beberapa operator yang menawarkan pakej menarik. Namun, jika idamkan servis yang memuaskan hati, Megawatersports adalah jawapannya.

Sebabnya, selain penuh informasi, anda juga akan diberikan peralatan yang diperlukan seperti kasut getah, dry bag, dan kamera go-pro.

Dengan harga serendah RM700 anda boleh menjelajah ke beberapa buah pulau untuk tempoh 4 jam. Antara pulau yang akan dilawati ialah Pulau Dayang Bunting yang terkenal dengan lagenda buaya putih yang menghuni tasik air tawarnya, Pulau Singa Besar untuk melihat kawanan burung Helang yang bebas berterbangan dan Pulau Kentut Kecil untuk mandi-manda.



Pulau Kentut Kecil menawarkan pemandangan alam yang cukup mempesona.

Keindahan Pulau Kentut Kecil cukup mengasyikkan. Bagaikan syurga dunia. Pasirnya putih bersih, dan airnya jernih bak kristal yang berkilauan. Tiada sebarang kemudahan awam di sini dan ia semestinya mendamaikan.

Empat jam bersama trip yang dikendalikan oleh Megawatersports terasa begitu pantas berlalu kerana ia dipenuhi dengan keseronokkan dan keterujaan. Inilah masanya anda membebaskan minda daripada rutin kehidupan yang membosankan.

Redahi lautan luas dengan penuh keseronokan. Percayalah anda akan tersenyum puas! Satu pengalaman yang sukar dilafazkan dengan kata-kata.

Boleh layari Megawatersports untuk maklumat lanjut.



Stand-up Paddle Board kini boleh didapati di Tanjung Rhu, Langkawi.

Stand-up Paddle Board (SUP)

Aktiviti yang popular di Bali ini sebenarnya sudah hampir dua tahun ada di Langkawi. Cuma masih ramai yang tidak tahu kerana terlalu memandang ke luar negara. H2ocean Langkawi merupakan operator pelancongan yang pertama membawa aktiviti ini di Langkawi.

Beroperasi di Pantai Tanjung Rhu, H2ocean memberi peluang kepada pelancong tempatan untuk menikmati keseronokkan sukan pantai yang semakin mendapat sambutan ramai ini.

Jadi, apa yang seronoknya tentang SUP ini? Bagi yang belum pernah mencuba, pasti anda berasa sedikit ragu-ragu untuk mencubanya, tetapi jangan risau. Sebaik sahaja anda sudah mendapat ‘rentak’ dan keseimbangan, anda akan enjoy melakukan aktiviti air ini.



Langkawi, destinasi percutian yang tidak pernah mengecewakan.

Sebelum bermula, penerangan terperinci akan diberi supaya anda tidak terkial-kial ketika di laut. Jangan bimbang, setiap pakej dilindungi oleh insurans dan jaket keselamatan wajib dipakai untuk mengelak sebarang kemungkinan yang tidak dingini.

Jika anda mengambil pakej Educational Mangrove & Limestone Tour yang mengambil masa 3 jam, anda boleh mempelajari banyak perkara tentang pembentukan batu-batu kapur dan juga hutan paya bakau.

Jika anda sekadar ingin berseronok, memadailah dengan pakej fun in sun yang juga berpeluang untuk aktiviti snorkeling. Satu fakta yang anda perlu tahu, anda boleh singgah di pelantar yang digunakan untuk penggambaran filem Crazy Rich Asean!

Harga untuk SUP bermula dari RM80 dan anda boleh intai akaun Instagram @h20cean_trv untuk promosi terkini.



Memandu ATV di pantai Tanjung Rhu juga menyeronokkan.

Pandu ATV di Pantai Tanjung Rhu

Memandu ATV di pantai memang bukan perkara baru untuk dicuba. Tetapi anda harus ingat, lain tempat, lain pengalamannya. Memandangkan Tanjung Rhu menawarkan pemandangan pantai mengasyikkan, memandu ATV di sini tidak merugikan.

Boleh pilih beberapa pakej yang ditawarkan oleh satu-satunya operator di pantai Tanjung Rhu, iaitu Toro Watersports. Jika anda sekadar ingin menikmati keindahan pantai, boleh ambil pakej yang berharga RM90.00.

Dengan pakej ini anda akan dibawa melewati sepanjang pantai Tanjung Rhu, dan berpeluang mengambil foto dan video untuk dijadikan kenangan.

Jika anda mahu pengalaman lebih mencabar dan ada elemen kejutan, ambillah pakej yang turut membawa anda masuk ke laluan hutan dan sungai. Pakej ini mengambil masa lebih dua jam kerana trek yang dilalui agak mendebarkan untuk yang baru mencuba.

Lihat kehidupan nelayan yang menjala ikan dan mencari siput ketika melalui muara sungai di hujung pantai. Sesekali bolehlah berhenti seketika untuk merakam memori. Banyak yang boleh dilihat ketika menyertai trip ATV ini.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, boleh layari Langkawiadventure.



The Ritz Carlton Langkawi merupakan resort pilihan ramai selebriti.

Menginap di hotel pilihan selebriti

Memilih penginapan atau hotel bukanlah satu isu besar apabila bercuti ke Langkawi. Ikut kesesuaian bajet anda. Bagaimanapun, dengan situasi semasa ketika ini, banyak hotel yang menawarkan harga bilik yang tidak disangka-sangka. Jadi tunggu apa lagi ? Rebutlah peluang keemasan ini.

Istimewa untuk pasangan yang ingin berbulan madu, apa kata anda pilih The Ritz Carlton, Langkawi. Alang-alang tidak dapat ke luar negara, bolehlah berbelanja besar demi pengalaman bulan madu mengagumkan. Hotel bertaraf lima bintang ini menawarkan sebuah penginapan yang cukup sempurna.

Tidak hairanlah ia menjadi pilihan ramai selebriti seperti Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Mira Filzah, Nora Danish dan ramai lagi.

The Ritz-Carlton Langkawi terletak di dalam kawasan hutan hujan berusia 10 juta tahun di pinggir Laut Andaman dan menawarkan lapan jenis penginapan untuk tetamu.

Jika sedang berbulan madu mungkin anda selesa memilih villa berpandangan pantai seperti Beach Villa, Grand Ocean Villa dan Grand Ocean Front Villa untuk menikmati suasana penuh romantis.



Jika sukakan kehijauan, pilihlah villa atau bilik yang dikelilingi hutan hujan tropikaJika sukakan kehijauan, pilihlah villa atau bilik yang dikelilingi hutan hujan tropika.

Jika sukakan kehijauan alam, Rainforest Deluxe Room, Rainforest Junior Suite atau Rainforest Villa juga tersedia. Sesetengah villa turut dilengkapi dengan kolam renang peribadi untuk mereka yang mementingkan privasi.

Jadi tepuk dada, tanya selera. Mana yang menjadi pilihan hati. Menghabiskan masa di hotel ini bukanlah sesuatu yang membosankan kerana anda akan dilayan bagaikan VVIP. Bermalas-malasan di bilik juga menyeronokkan memandangkan ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden yang diperlukan.

Satu lagi kelebihan resort ini ialah, segala kemahuan atau permintaan anda akan disempurnakan dengan sebaiknya oleh petugas hotel. Apa yang perlu anda lakukan, hanya minta pertolongan mereka.

Jangan lupa menikmati sarapan pagi di Langkawi Kitchen yang menyajikan hidangan-hidangan lazat bercitarasa Malaysia. Antara menu mesti cuba ialah nasi lemak, roti canai sarang burung, pelbagai jenis pastri, dimsum dan juga set American Breakfast. Percayalah anda pasti tersenyum puas setiap kali menyuap makanan ke mulut.

Lain-lain aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah berenang di kolam renang infiniti sambil menikmati hidangan minum petang, berkayak, stand-up paddle board, atau memanjakan diri di spa yang menjadi ‘Intagrammable spot’ setiap tetamu.

Untuk maklumat lanjut dan promosi terkini, anda boleh kunjungi Ritz Carlton

Selamat merancang percutian yang diidamkan!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Chelsea pecat pengurus Frank Lampard