suria

Usia bukan penghalang, kumpulan wanita separuh abad ini akhirnya tawan Namrud

Kumpulan berjaya ke puncak Gunung Namrud.

KALI pertama membuat kajian mengenai Gunung Namrud yang terletak di tenggara Turki, agak sukar kerana tidak banyak maklumat mengenainya terutama laluan yang perlu digunakan untuk sampai ke puncak.

Bukan itu saja, penulis juga terpaksa mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka yang pernah ke sana menerusi laman sembang Tripadvisor.

Bagaimanapun, dengan bantuan ejen tempatan, akhirnya pendakian kami dalam kumpulan kecil akhirnya direalisasikan.

Lebih menarik, peserta kumpulan kami paling senior berusia 64 tahun dan majoriti adalah melebihi 55 tahun.

Masih kelihatan sisa salji walaupun sudah musim bunga.

Rupanya-rupanya, lokasi Gunung Namrud ini tidak popular dalam kalangan pelancong Asia Tenggara terutama Malaysia dan ia hanya terkenal dalam kalangan pengunjung Eropah dan Jepun.

Namun, akibat ketidakstabilan politik (walaupun hanya digembur-gembur dalam media Barat) lokasi ini bukan lagi menjadi lokasi kegemaran mereka walaupun keindahannya tidak mampu digambarkan dek kata-kata.

Untuk ke Gunung Namrud yang terletak 1,200 kilometer dari Istanbul ini, selain melalui darat, ia juga lebih menjimatkan masa dengan menaiki penerbangan tempatan dengan lapangan terbang paling hampir di Adiyaman.

Laluan mudah pendaki

Puncak Gunung Namrud yang terletak 2,150 meter dari aras ini terkenal kerana ada beberapa kepala patung berhala kuno yang dijumpai sekitar tahun 1880 oleh seorang jurutera yang mahu mencari laluan kerajaan Uthmaniyyah.

Sebahagian patung kepala berhala kuno yang berada di puncak Namrud.

Pada 1987 tapak arkeologi itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Unesco.

Oleh kerana cuaca yang melampau sejuk di kawasan itu, gunung itu hanya dibuka kepada pelancong sepanjang April hingga Oktober sahaja setiap tahun.

Keindahan sepanjang pendakian

Dengan laluan bertangga lebar sekitar 300 meter dan batu kerikil kecil sepanjang 200 meter ke puncak gunung itu, ia lebih memudahkan pendaki ke sana.

Salinurfa, kota para nabi


Pemandangan indah dari atas Gunung Namrud.

Puas menghabiskan beberapa jam menikmati keindahan alam Banjaran Taurus dari puncak Gunung Namrud, kembara tidak lengkap jika tidak singgah ke bandar Salinurfa yang terletak hanya kira-kira 120 kilometer dari kaki Gunung Namrud.

Bandar yang lebih dikenali sebagai kota para nabi ini, sarat dengan sejarah.

Di bandar ini juga terletaknya Kompleks Nabi Ibrahim. Di kompleks ini, sebuah gua dikatakan tempat persembunyian Nabi Ibrahim ketika bayi oleh orang tuanya kerana bimbang dibunuh Raja Namrud yang zalim.

Kompleks Nabi Ibrahim.

Raja Namrud dikatakan mengarahkan semua bayi lelaki yang lahir pada tahun itu kerana bermimpi bakal dibunuh oleh bayi itu apabila besar kelak.

Di sini juga, mengikut sejarahnya Nabi Ibrahim dibakar selepas didapati memusnahkan berhala-berhala di kuil kerana rakyat dan Raja Namrud keluar kota untuk meraikan keraian.

Kawasan Gua Nabi Ibrahim.

Namun, api yang membakar Nabi Ibrahim menjadi sejuk dengan izin Allah seperti yang diceritakan dalam al-Quran.

Ada beberapa lokasi di beberapa negara yang didakwa gua dan perigi Nabi Ayub. Di bandar ini juga terdapat gua dan perigi Nabi Ayub yang terletak di tengah-tengah bandar Salinurfa tidak jauh dari Kompleks Nabi Ibrahim.

Harran, pekan sempadan Syria banyak sejarah

Tidak jauh dari bandar ini, satu lagi pekan kecil yang wajar dikunjungi.

Perkampungan Harran, rumah purba diperbuat dari tanah liat.

Hanya terletak beberapa kilometer dari sempadan Syria, pekan ini turut terkenal dengan beberapa tapak arkeologi seperti runtuhan universiti di zaman Roman yang dibina pada 600 AD dan rumah tanah liat purba seperti sarang lebah atau busut semut.

Runtuhan universiti yang dibina sekitar 600 AD

Bosan untuk mengikut laluan klasik atau popular dalam siri kembara Turki, apa kata cuba ke lokasi lain.

Terlalu banyak tempat menarik dan sarat sejarah di negara yang pernah dikenali sebagai Anatolia ini.

Artikel Lain