suria

Vila dalam air pertama dunia dibuka tahun ini

JIKA anda seorang yang obses dengan kehidupan di dalam air, vila ini patut dicatat antara senarai destinasi percutian anda.

Vila luar biasa ini menawarkan pengalaman menginap di rumah mini yang terletak lima meter di bawah paras laut di Maldives, Lautan Hindi.

Lantai, dinding dan siling yang diperbuat daripada kaca membolehkan tetamu melihat kehidupan laut yang eksotik seperti ikan berwarna warni, penyu dan macam-macam lagi.

Tarikan terbaharu ini akan dibuka di resort Conrad Maldives di Pulau Rangali, sebahagian daripada pelaburan AS$15 juta (RM58.8 juta).

Dinamakan 'Muraka' yang bermaksud 'karang' dalam bahasa tempatan Dhivehi, suite baharu itu dijangka dibuka untuk tempahan tahun ini dan boleh menempatkan sembilan tetamu pada satu-satu masa.

Selain panorama laut, ia turut menempatkan bilik tidur bersaiz besar, ruang tamu dan bilik mandi.

Selain bilik dalam laut, ruangan yang terletak di atas air pula menawarkan kemudahan yang sangat mewah seperti gim, beranda dengan kolam infinity, dapur dan bar peribadi.

Malah, pengunjung juga dapat menikmati bilik mandi dengan tab yang menghadap laut.

Di resort itu juga, terdapat 12 restoran dan bar termasuk satu yang terletak di bawah air dan dua spa.

Panorama pantai  dengan air berwarna biru kristal juga merupakan salah satu tarikan utama di situ.

Sudah tentu percutian ke lokasi yang boleh dianggap seindah syurga ini memerlukan belanja yang besar, namun anda masih boleh mencari pakej percutian yang murah di Maldives.

Jika anda tidak mampu, mungkin boleh mencuba pengalaman serupa dengan menikmati restoran bawah air terbaharu di Norway.-mirror.uk



Maldives, Pulau Rangali

Artikel Lain