suria

Bihun Sup Daging 'Melimpah' Jadi Tarikan Di Kedah

Pekerja gerai, Muhammad Akmal Rushdi Mohd Rani, 18, membawa 'Bihun Sup Daging Segenggam' kepada pelanggan yang setia menanti untuk menikmati menu istimewa itu yang diusahakan Che Mah Abdullah, di gerainya di Kampung Paya Kerchut, Pendang, Kedah. -fotoBERNAMA

PENDANG: Percaya atau tidak, dengan keadaan ekonomi hari ini, masih ada bihun sup istimewa yang dilitupi daging hanya dijual pada harga RM5 semangkuk.

Gerai 'Bihun Sup Daging Segenggam' milik Che Mah Abdullah, 62, di Kampung Paya Kerchut, di sini, mula tular dalam laman Facebook sejak Julai tahun lepas sehingga ia sesak dengan orang ramai demi menikmati keenakan juadah tersebut.

Che Mah ketika ditemui Bernama berkata ketidaktentuan ekonomi ketika ini tidak menghalang beliau daripada meletakkan daging melimpah dalam menu bihun supnya sehingga menjadi tarikan utama sejak diusahakan pada 1981.

"Saya rasa pelanggan patut makan puas, sebab itu saya tak berkira nak letak daging banyak-banyak dalam bihun sup mereka. Apa yang penting mereka rasa berbaloi dan beri komen positif setelah datang dari jauh.

"Saya jual murah sebab berniaga pun di hadapan rumah sendiri dan tak perlu bayar sewa serta bil yang mahal. Lagi pun tidak mahu bebankan pelanggan terutama yang mempunyai anak ramai," katanya.

Che Mah berkata bihun sup resipi suaminya, Md Salleh Nayan, 63, mula tular selepas seorang pelanggannya memuatnaik gambar makanan itu dalam laman Facebook sehingga diketahui orang ramai dan sejak itu ia menerima sambutan luar biasa.

"Saya ingat lagi masa itu ada enam meja dan hari silih berganti, sambutan diterima amat luar biasa hingga ada datang dari Pulau Pinang, Perlis dan Perak selain penduduk tempatan sehingga tidak cukup tempat duduk, terutama pada hujung minggu serta cuti persekolahan.

"Parkir juga tidak cukup dan pelanggan terpaksa berdiri menunggu giliran untuk menikmati keenakan bihun sup di sini, jualan masa itu mencecah lebih RM2,000 sehari," katanya yang menyediakan lebih 100 kilogram daging bersama empat periuk besar sup untuk jualan setiap hari.

Katanya sambutan luar biasa pengunjung di gerai itu menyebabkan Che Mah tidak ‘menang tangan' walaupun dengan bantuan 10 pekerja menguruskan operasi yang bermula 12 tengah hari hingga petang pada setiap hari kecuali Jumaat.

Seorang pengunjung, Affendi Abu Bakar, 42, berkata beliau datang bersama isteri, Adinawati Adnan, 37, dari Kulim semata-mata untuk menjamah bihun sup di gerai Che Mah.

"Ini kali kedua saya datang selepas tular dalam Facebook sebab dagingnya juga banyak dan aroma supnya yang sangat menyelerakan. Jaranglah kita temui bihun sup yang dagingnya banyak dalam keadaan ekonomi masa kini," katanya yang telah menjadikan gerai bihun sup di sini sebagai destinasi wajib apabila berkunjung ke Pendang.

Artikel Lain