Sisi Unik Nicholas Saputra, 'Solo Travel' Jadi Pilihan - Destinasi | mStar

Sisi Unik Nicholas Saputra, 'Solo Travel' Jadi Pilihan

Nicholas Saputra popular dengan watak Rangga yang dimainkannya dalam filem Ada Apa Dengan Cinta.

SEWAKTU diajukan soalan kenapa dia suka melancong, pelakon popular Indonesia, Nicholas Saputra pantas menjawab 'untuk mencari jawapan kepada persoalan saya'.

Pelakon berusia 33 tahun yang dikenali menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta ini turut berkongsi bahawa dia sangat meminati bidang seni bina, alam semulajadi dan budaya.

"Saya sememangnya suka melancong. Biasanya saya akan melancong lapan hingga sepuluh kali dalam setahun.

"Namun, saya tidak suka merancang perjalanan. Contohnya, saya mengambil penerbangan terus dari Jakarta ke Colombia. Selepas itu saya ke Sri Lanka pula. Saya hanya tempah hotel selama dua hari sahaja," ujarnya memetik thejakartapost.

-foto Nicholas Saputra

Menurut Nico, dia berusia 15 tahun sewaktu pertama kali melancong tanpa ditemani ibu bapanya.

Pada waktu itu, dia dan beberapa rakan sekolah menaiki kereta api ke Bandung tanpa menempah lokasi penginapan.

"Saya cakap pada kawan, jangan tempah tempat tinggal. Kita menginap sahaja di masjid dan naik kenderaan awam. Ini kerana kami mahu merasai pengalaman mencabar melancong sendiri," kata Nico.

-foto Nicholas Saputra

Sementara itu, Nico merasakan mengembara sendirian (solo travel) adalah minat utamanya.

Kongsi Nico, dia menghabiskan masa selama 10 hari bersendirian di Jordan.

Pada waktu itu, dia melawat tapak seni bina batu di Petra dan berkhemah di padang pasir Wadi Rum, di Lembah Bulan, timur Aqaba.

"Pada waktu siang, ada aktiviti meluncur pasir dan mendaki bukit, malamnya pula saya menikmati pemandangan bintang dari khemah.

"Untuk perjalanan 230 kilometer dari Amman ke Petra, saya hanya naik teksi di sana," katanya.

-foto Nicholas Saputra

Dalam pada itu, Nico pernah berjanji pada dirinya untuk hanya melancong di sekitar kepulauan Indonesia sahaja suatu ketika dahulu.

Akhirnya, dia menjelajah Komodo sebanyak 10 kali termasuk lokasi-lokasi lain.

"Semakin ke timur anda pergi, makin banyak perbezaan dan kepelbagaian bakal ditemui. Jika anda ke kepulauan Flores, dalam beberapa jam sahaja anda akan menemui bahasa lain.

"Disebabkan itu, saya sedar betapa pentingnya bahasa Indonesia. Ia menghubungkan manusia dengan manusia lain," ujar Nico.

Menurut pelakon kelahiran Jerman itu, Tangkahan, Sumatera, adalah salah satu lokasi kegemarannya.

Katanya, sudah hampir 15 kali dia melawat Taman Negara Gunung Leuser dalam tempoh sedekad yang lalu.

-foto Nicholas Saputra

"Saya suka persekitaran di sana, ia bebas dan liar. Saya banyak menghabiskan masa dengan menyelamatkan gajah dan sebagainya."

Nico juga merupakan sukarelawan untuk badan bukan kerajaan (NGO) Fauna and Flora International, The Nature Conservancy dan World Wildlife Fund.

Dia juga aktif bersuara mengenai isu bagaimana NGO boleh memelihara alam sekitar dan membantu manusia hidup dengan lebih baik.

"Apabila saya berada di Tangkahan, di tengah-tengah hutan, berendam dalam air sungai di taman negara, ia adalah satu kemewahan buat saya.

"Perkataan mewah itu dinilai terlalu tinggi. Ia bukan mengenai apa yang anda fikirkan tetapi ia adalah sesuatu yang anda tidak akan perolehi di tempat lain," kata Nico. -TheJakartaPost

Nicholas Saputra , solo travel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan