suria

Mereka Melancong Ke Korea Utara Dan Ini Pengalaman Yang Diperolehi

-foto LMSpencer/Shutterstock

SEBUT sahaja Korea Utara, pasti ramai yang tahu mengenai krisis-krisis dan isu melibatkan negara itu.

Korea Utara juga dikenali sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar pintu tertutup.

Namun, adakah mustahil untuk anda melawat negara itu? Pastinya tidak.

Ikuti perkongsian pengalaman pelancong yang pernah menjejakkan kaki ke negara penuh rahsia itu.

-foto Tamara Hinson

Menurut Denis Sharpe yang berkunjung ke negara itu pada 2017, sebagai pelancong dia masih diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja walaupun Korea Utara adalah sebuah negara kuku besi.

Namun, dia juga perlu menunjukkan rasa hormat khususnya terhadap sesetengah monumen dan gambar-gambar pemimpin negara itu.

"Saya juga terkejut dengan penggunaan teknologi di negara itu. Sewaktu pertunjukan bunga api pada malam tahun baru, saya lihat ramai rakyat negara itu merakam bunga api dengan telefon mereka," katanya.

-foto Taver/Flickr

"Soal makanan pula, negara itu tidak terhad kepada makanan tradisi mereka sahaja. Iyalah, sebut sahaja Korea, pasti ramai yang terbayangkan kimchi dan sebagainya.

"Jangan terkejut kerana negara itu juga ada menawarkan hidangan seperti pizza.

"Di Pyongyang, saya dibawa ke restoran ayam goreng. Malah, saya turut dijamu dengan pizza sewaktu berada dalam bas," ujar Sharpe.

-foto Cordelia Persen/Flickr

Seperti umum sedia maklum, Korea Utara sememangnya dari dahulu menanam propaganda dalam minda masyarakat mereka.

-foto Attila Jandi/Shutterstock

Di Muzium Perang misalnya, pengunjung dapat menyaksikan kereta kebal, pesawat, dan tentera Amerika ditawan tentera negara itu.

Semua peristiwa sejarah dipaparkan mengikut versi negara itu.

Jika anda tidak bersetuju dengan apa yang dipaparkan sekali pun, sebaiknya diam sahaja.

Menurut Pengarah Operasi syarikat pelancongan Secret Compass, Tom McShane, Korea Utara yang dilawatinya pada 2016 sememangnya sangat selamat untuk dikunjungi.

Katanya lagi, negara itu sifar jenayah. Namun, pelancong perlu peka dengan undang-undang mereka dan bersedia dengan implikasi yang bakal diterima sekiranya melakukan kesalahan.

-foto Tom McShane

Pasti ramai yang tidak tahu bahawa Korea Utara adalah sebuah negara yang cantik.

Menurut McShane lagi, pelancong dapat menikmati permandangan gunung-ganang dan mendaki bukit sewaktu musim luruh yang pastinya menjanjikan pengalaman manis buat mereka.

Selain pemandangan, rakyat negara itu juga sangat mesra melayan pelancong. Bukan sahaja sopan, mereka juga mampu berbahasa Inggeris dengan bagus.

Tamara Hinson

Seorang lagi pelancong, Tamara Hinson yang berkunjung ke negara itu pada 2011 berkata, ada soalan yang tidak boleh ditanya walaupun rakyat negara itu sangat ramah melayan pelancong.

"Saya ada bertanya mengenai lokasi tempat tinggal Kim Jong Il tetapi pemandu pelancong menyuruh saya diam.

"Ini kerana rakyat negara itu menganggap Kim Jong Il sebagai manusia separuh tuhan dan dia tidak melakukan aktiviti normal manusia seperti ke tandas dan tinggal dalam rumah. Jadi, soalan seperti itu perlu dielakkan," katanya.

Malah, anda juga dilarang melipat sebarang kertas atau poster yang mengandungi cetakan wajah pemimpin mereka.

-fotoStephan/Flickr

Dari segi penginapan, hotel di sana turut dilengkapi pusat permainan bowling, bar, karaoke dan sebagainya.

Jadi, Korea Utara bukanlah sebuah negara yang teruk untuk dilawati. Namun, mahukah anda berkunjung ke negara itu? -Love Exploring

Artikel Lain