suria

Sebelum Melancong, Ini 10 Fakta Insurans Perjalanan Yang Patut Anda Tahu

Tidak semua aktiviti berisiko tinggi yang dilakukan semasa anda melancong dilindungi insurans. (Gambar hiasan)

PERNAHKAH anda terfikir sekiranya berdepan situasi kehilangan bagasi ketika sedang bercuti?

Sebenarnya tiada apa yang perlu dirisaukan kerana ia mendapat perlindungan insurans sehingga RM38,845 (AS$10,000).

Satu kaji selidik yang dijalankan Zoom Travel Insurance baru-baru ini mendedahkan 31 peratus pelancong tidak mengetahui sepenuhnya terma dalam polisi insurans perjalanan mereka.

Malah, mereka juga tidak tahu apa yang boleh dilindungi oleh insurans sewaktu bercuti.

Pengarah Pemasaran Zoom Travel Insurance, Kate Smith berkata, memahami apa yang boleh dilindungi oleh insurans adalah sesuatu yang sangat penting.

"Amat penting untuk mereka memahami apa yang boleh menjadi penghalang kepada mereka untuk membuat tuntutan perlindungan insurans.

"Tidak kira sama ada  ia pertama kali atau sudah beratus kali anda melancong, pastikan merujuk kepada ejen insurans jika ada sesuatu yang tidak jelas.

"Tidak salah jika anda memahami semua polisi insurans, malah ia akan memudahkan segala urusan dan boleh mengelakkan kekecewaan sewaktu membuat tuntutan kelak," katanya.

Berikut merupakan 10 fakta mengenai insurans perjalanan yang anda patut tahu.

1. Perlindungan bermula pada hari anda membeli polisi insurans

Pembatalan juga sebenarnya dilindungi oleh insurans. Andai kata terdapat hal kecemasan dan anda perlu membatalkan perjalanan pada hari anda sepatutnya memulakan percutian, anda layak untuk membuat tuntutan.

2. Terlepas penerbangan


-fotoAP

Siapa yang tidak bengang sekiranya terlepas penerbangan. Jika anda mengalami hal ini kerana kelewatan anda sendiri, jangan bermimpi untuk membuat tuntutan. Namun, sekiranya ia berlaku kerana isu mekanikal, lebihan tempahan ataupun penyelenggaraan pesawat, anda layak untuk membuat tuntutan kerana ia adalah tanggungjawab syarikat penerbangan itu.

3. Terlepas pandang, poket juga melepas

Sekiranya bagasi dan barangan peribadi anda dicuri, ia masih dilindungi oleh insurans. Namun, jika ia hilang kerana kecuaian dan kelalaian anda sendiri, tuntutan insurans anda akan ditolak. Begitu juga dengan barangan yang tertinggal dalam teksi atau di tempat pemunggahan bagasi, ia tidak akan dilindungi oleh insurans.

4. Had setiap barangan


-fotoAP

Kebanyakan polisi perjalanan membenarkan anda untuk menginsuranskan barangan berharga secara berasingan bersama dengan polisi perjalanan anda. Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa setiap barang mempunyai had tertentu. Memang benar bagasi dilindugi dengan insurans sebanyak RM38,845 (AS$10,000), namun anda mungkin hanya boleh membuat tuntutan maksimum sebanyak RM2,910 (AS$750) bagi setiap barang tidak spesifik atau RM7,761 (AS$2000) untuk komputer riba dan barangan eletronik. Penting  juga untuk anda membuat semakan bagi memastikan barangan berharga seperti kamera dan peralatan perubatan mudah alih dilindungi sepenuhnya.

5. Lebih cepat lebih baik

Sudah menempah perjalanan? Sekarang adalah masa terbaik untuk membeli insurans perjalanan. Apabila berlakunya pembatalan kerana bencana alam, anda boleh membuat tuntutan. Ini kerana jika bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi sudah mula dilaporkan oleh media, pada waktu itu sudah tiada guna untuk anda membeli polisi insurans perjalanan. Jadi, membeli insurans lebih awal adalah satu kemestian.

6. Memberi perhatian kepada segala butiran

Terdapat banyak jenis insurans perjalanan yang menawarkan perlindungan berbeza. Jadi, amatlah penting untuk anda mengkaji perbezaan setiap polisi insurans. Perlu anda tahu bahawa insurans perjalanan biasa hanya melindungi dari aspek perubatan sahaja. Jika anda mahukan perlindungan dari aspek yang lebih meluas seperti menunda perjalanan dan pembatalan, carilah insurans yang tepat.

7. Berfikir sebelum bergaya


-fotoAP

Sekiranya anda merancang untuk bergaya sakan dengan barang kemas dan perhiasan sewaktu bercuti, anda patut memikirkan semula perancangan itu. Ini kerana insurans tidak akan melindungi barangan berkenaan. Jika anda berkeras untuk membawa cincin berlian mahal mahupun perhiasan lain sewaktu bercuti, ada baiknya jika anda menginsuranskannya di bawah polisi rumah anda sendiri.

8. Mabuk sehingga menjejaskan perlindungan insurans

Satu kemestian bagi sesetengah orang (bukan Islam) untuk menikmati minuman keras sewaktu bercuti. Namun, jika anda mabuk sehingga berkelakuan tidak baik, ia mungkin boleh menjejaskan tuntuan perlindungan anda.

9. Mencabar adrenalin

Terfikir untuk melakukan sesuatu yang mencabar sewaktu percutian? Jika anda mahu melakukan sukan ekstrem dan aktiviti merbahaya, perlu diingat tidak semua aktiviti berisiko tinggi dilindungi insurans. Jadi, ada baiknya jika anda membeli insurans tambahan yang melindungi aktiviti anda.

10. Usia

Sekiranya ahli keluarga jatuh sakit atau meninggal dunia sewaktu anda berada di luar negara, skim insurans yang komprehensif akan melindungi segala kos perjalanan balik. Namun, ia juga tertakluk kepada usia ahli keluarga anda yang jatuh sakit atau meninggal dunia. Zoom tidak akan membayar perlindungan kecemasan keluarga jika individu berkenaan sudah melepasi usia 84 tahun ataupun jatuh sakit kerana penyakit sedia ada.


Artikel Lain