suria

Lauk ‘Bajet’ Tarikan Medan Selera Tepi Tasik

TAK lama lagi sesi pengajian di kebanyakan institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan bermula.

Teringat pula zaman Cik Dhia mengikuti pengajian di universiti dulu. Paling manis bila dapat menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang empat tahun menuntut ilmu.

Tapi ada masanya Cik Dhia kena kawal perbelanjaan terutamanya bab makan. Maklumlah, bila bergelar mahasiswi memang perbelanjaan agak terhad.

Sudah tentu pelajar tercari-cari 'port' makan yang murah dan dekat dengan kawasan universiti masing-masing kan?

Kali ini, Dhia Datang sempat mencuba sajian tengah hari yang menjadi lokasi kegemaran pelajar dan juga kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mana lagi kalau bukan di Medan Selera Taman Tasik Serdang yang terletak di Seri Kembangan. Ibu bapa yang baru hendak daftarkan anak-anak nanti bolehlah singgah ke sini.

Medan selera ini bukan sahaja menawarkan harga yang rendah, tapi makanan yang dihidangkan di sini juga sedap-sedap belaka.

Perut pun dah lapar, Cik Dhia pun rambang mata nak jamu selera. Semua nampak sangat menyelerakan.

Cik Dhia pilih ikan keli goreng sambal dan gulai lemak pucuk paku. Barulah terubat rindu dengan lauk-pauk di kampung. Maklumlah, Cik Dhia pun nak ambil 'mood' jadi mahasiswa yang berjauhan daripada keluarga.

Hidangan ini cuma berharga RM5.

Memang membuka selera sungguh! Rasa ikan keli sangat rangup dan pedas berapi. Tengok sajalah warna sambal yang merah menyala ni.

Tapi bila dimakan bersama gulai lemak pucuk paku, rasanya bertambah nikmat. Pendek kata, siapa yang 'homesick' akan rasa nak datang makan di sini setiap hari!

Bukan itu sahaja, pelanggan pun boleh cuci mata dengan pemandangan tasik yang terletak bertentangan dengan medan selera ini.

Kebiasaannya tempat ini akan dipenuhi dengan pelanggan bila musim pengajian bermula.

Kata pemilik Warung AB, Abu Bakar Dahari, 66, harga yang ditawarkan memang mesra pelajar kerana memahami bahawa mereka tidak mampu untuk membayar makanan pada harga yang mahal.

Abu Bakar.

"Kita pun faham mereka ini pelajar, banyak duit nak pakai untuk perkara lain. Jadi, apa salahnya jika kita bantu mereka supaya dapat berjimat cermat.

"Menu yang ditawarkan pula kebanyakannya memang lauk kampung atau masakan Melayu yang kena dengan selera pelajar," ujarnya.

Alamat:
Warung AB,
Medan Selera Taman Seri Serdang, 
Jalan Sri Serdang Selatan, Sri Serdang, 
43400 Seri Kembangan, 
Selangor.

Waktu operasi:
Setiap pagi dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Dhia Datang

Artikel Sebelum

Artikel Lain