Dari pakar libas ke padang bola, Safawi rela demi mengubah nasib dan masa depan keluarga - Personaliti Sukan | mStar

Dari pakar libas ke padang bola, Safawi rela demi mengubah nasib dan masa depan keluarga

Safawi tampil cemerlang bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan skuad Harimau Malaya. fotoBERNAMA

REMBATAN kencang dan kelincahannya di padang sering digeruni hingga kerap menjadi sasaran pemain pasukan lawan.

Maka tidak hairanlah Muhammad Safawi Rasid diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) baru-baru ini.

Malahan, aksinya hingga menghasilkan jaringan sering dinantikan penyokong Harimau Malaya, termasuk sepanjang saingan Piala AFF Suzuki kali ini apabila pasukan negara melangkah ke final menentang Vietnam. 

Namun di sebalik segala kejayaan yang dikecapinya ketika ini, terselindung kisah dukanya enam tahun lalu yang tidak pernah didedah kepada umum.

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengimbau kembali saat-saat dia ke kedai runcit untuk berhutang barang keperluan harian yang dipesan ibunya.

"Saya dari keluarga yang susah. Adik beradik saya pula ramai, ada 13 orang semuanya.

"Jujur saya kata, keluarga saya pernah hutang kedai runcit sampai sebulan baru bayar balik. Bila ingat semula, ya Allah sedihnya," katanya kepada mStar Online.

Anak kesembilan tu berkata, dia perlu mengetepikan perasaan malu pada waktu itu demi sesuap nasi setiap ahli keluarganya.

"Malu tu memang malu tapi nak buat macam mana, keluarga saya perlu berhutang dulu untuk makan.

"Waktu tu kakak dan abang saya pun masih belum bekerja lagi. Kehidupan kami memang susah sangat ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu," ceritanya lagi.

Keluarga besar Safawi. - foto ihsan Safawi Rasid.

Kesusahan yang dilaluinya sejak kecil menyebabkan anak kelahiran Dungun, Terengganu itu bangkit mengubah kehidupan keluarganya.

"Melihat kesusahan yang dilalui keluarga membuatkan saya bersemangat untuk melakukan sesuatu bagi mengubah nasib keluarga saya.

"Saya cuba main bola sepak. Alhamdulillah bakat saya diiktiraf dan saya gunakan wang hasil titik peluh bermain bola untuk bantu keluarga," katanya.

Meskipun namanya kini meniti di bibir peminat bola sepak tanah air, tidak ramai mengetahui bahawa Safawi sebenarnya pernah dikenali sebagai pakar libas.

Pemain berusia 21 tahun itu lebih awal mencipta nama sebagai pemain sepak takraw apabila mewakili Terengganu dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sejak di bangku sekolah rendah.

Namun ketika di Tingkatan 3, Safawi turut terpilih mewakili skuad bola sepak Terengganu dalam kejohanan MSSM.

Safawi mengabadikan kenangan bersama David Beckham semasa kunjungan legenda Manchester United itu ke Johor Darul Ta'zim (JDT).

Susulan itu, dia terpaksa melupakan sukan takraw dan fokus sepenuhnya kepada bola sepak.

"Pada awalnya saya main takraw sebab saya satu-satunya anak yang mewarisi bakat ayah (Rasid Sulung). Lagipun ayah adalah bekas pemain sepak takraw Terengganu. Oleh itu saya bercita-cita nak mewakili negara dalam sukan ini.

"Namun bila saya terpilih mewakili Terengganu dalam bola sepak, saya terpaksa melupakan takraw yang juga pilihan ayah kerana melihat peluang dalam sukan bola sepak lebih terbuka luas," katanya.

Safawi berkata bapanya menyokong keputusannya untuk menjadi pemain bola sepak walaupun pada awalnya mahu dia menjadi pewaris dalam sepak takraw.

"Saya tahu ayah mahu saya mewarisi bakatnya tetapi dia tak pernah halang pilihan saya. Dia sentiasa menyokong karier saya sehingga hari ini.

"Masa kecil saya bercita-cita nak jadi doktor tapi saya dulu memang nakal, sekolah pun kurang. Jadi saya fikir bola sepak lebih sesuai dengan jiwa saya. Syukur sangat-sangat kerana karier ini dapat mengubah nasib saya dan keluarga," katanya.

Safawi Rasid , bola sepak

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel