suria

BWF tidak tahu keputusan rayuan penggantungan Zulfadli, Chun Seang

Zulfadli (kiri) dan Chun Seang (kanan) masing-masing digantung selama 20 dan 15 tahun.

KUALA LUMPUR: Panel bebas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan berhubung rayuan oleh dua pemain negara yang digantung, Zulfadli Zukiffli dan Tan Chun Seang, kerana kesalahan mengatur perlawanan.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata, badan induk dunia itu, tidak mengetahui perkembangan mengenai kes rayuan itu kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh panel bebas yang dilantik oleh mereka.

“Saya tidak tahu tentang kemajuan kes itu kerana panel bebas kami mempunyai kuasa penuh dalam mengendalikan kes itu...jadi kami tidak tahu apa keputusan mengenai rayuan yang dibuat oleh panel bebas itu.

"Rayuan adalah satu lagi proses yang dikendalikan oleh panel tersebut,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman bandar-bandar tuan rumah bagi acara utama BWF dari 2019-2025, di sini, Khamis malam.

Pada Mei lalu, Zulfadli dan Chun Seang masing-masing digantung selama 20 dan 15 tahun dan denda US$25,000 (RM104,600) dan US$15,000 (RM62,760) selepas didapati bersalah mengatur perlawanan oleh panel panel bebas tersebut.

Kedua-dua pemain tersebut telah memfailkan rayuan masing-masing.

Dua pemain berkenaan dilaporkan melakukan kesalahan itu dalam dalam enam kejohanan berbeza dalam tempoh tiga tahun iaitu GP Emas Terbuka London (2013), GP Terbuka Belanda (2013), GP Emas Terbuka Korea (2014), GP Terbuka Macau (2014), GP Terbuka AS (2014) dan GP Emas Terbuka Brazil (2016).

Lund berkata pihaknya sedang mengambil langkah yang diperlukan untuk mengelak isu yang sama dari berulang pada masa depan dan percaya sukan itu kekal bersih daripada gejala mengatur perlawanan. - Bernama

Artikel Lain