suria

5 jaguh eSport ini akhirnya bertukar kerjaya... Paling sempoi pilih jadi petani!

Dafran memilih untuk terjun ke dalam bidang pertanian.

KERJAYA dalam bidang eSport adakalanya disifatkan hanya mampu bertahan dalam jangka masa yang singkat.

Kebanyakan pemain memulakan kerjaya dalam bidang ini secara profesional pada lewat usia remaja mereka, justeru ia cenderung untuk membuatkan mereka bosan atau keletihan.

Sesetengah jaguh eSport malah memilih untuk berundur dan bertukar kerjaya ke bidang lain, antaranya seperti penstriman dan penciptaan kandungan; penyiaran dan analisis dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, ada juga dalam kalangan mereka mempunyai matlamat yang jauh berbeza berbanding kerjaya yang dianggap mainstream.

Berikut adalah lima bekas jaguh eSport yang membuat perubahan mengejutkan dalam kerjaya mereka sebagaimana yang disenaraikan oleh portal oneesports.gg

1) Alex Ich

Alexey 'Alex Ich' Ichetovkin ialah salah seorang pemain yang paling dikenali dalam LCS EU, terutamanya sebagai sebahagian daripada Moscow Five, Gambit Gaming dan Team EnVyUs.

Alex mengumumkan persaraannya pada 2018, dan mengambil bahagian dalam dunia penstriman.

Pada penghujung 2020, Alex mengumumkan lembaran baharu dalam perjalanan Liganya, dengan menyertai syarikat Riot Games sebagai jurutera perisian.

alex

Ciapan Alex mengenai persaraannya.

2) Thresh

Dennis 'Thresh' Fong dinobatkan oleh Guinness World Records sebagai juara kejohanan eSport pertama, apabila memenangi pertandingan Quake and Doom pada tahun 1995.

Dia mencapai tahap kejayaan baharu sebagai usahawan, dengan mengasaskan syarikat teknologi seperti Lithium Technologies, Raptr, Xfire dan GGWP.

3) Holyman

Carlos 'Holyman' Mangco adalah sebahagian daripada pasukan Mineski Filipina yang 'original' pada tahun 2007 ketika Dota 2 masih dibangunkan.

Walaupun bertanding dalam kejohanan Dota antarabangsa, menjadi pemain eSport profesional pada masa itu tidak membuahkan hasil dalam kerjaya seperti hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima permainan esport paling berpengaruh yang setiap gamers perlu tahu

Dia kemudian meninggalkan kancah persaingan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang namun kekal memberikan sokongan kepada bekas pasukannya.

4) Gokul 'dnm' Sagar

Gokul 'dnm' Sagar pernah menjadi pemain CS:GO profesional dengan Team Invictus, malah berjaya mewakili negaranya dalam kejohanan antarabangsa.

Pada tahun 2017, dia melepaskan kehidupan sebagai pro-gamer untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

Dnm juga merupakan salah seorang petugas barisan hadapan yang membantu pesakit Covid-19 ketika wabak itu mula melanda pada tahun 2020.

gokul

Gokul 'dnm' Sagar memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

5) Dafran

Daniel 'Dafran' Francesca merupakan pemain pro Overwatch. Walaupun diusik sebagai bakal jaguh Valorant ketika permainan itu dalam versi beta pada tahun 2020, Dafran mengumumkan bahawa dia akan berhenti daripada dunia profesional untuk menceburi pertanian.

Menerusi ciapan di Twitter, Dafran menyatakan alasannya untuk bersara adalah kerana terlalu lama menghabiskan kehidupannya di hadapan komputer.

"Kita hanya mempunyai kehidupan sekali sahaja, lakukan apa yang menggembirakan anda," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain