suria

Jurulatih 'Speedy Jantan' pertahan diri, tak hirau tuduhan Karim..."Saya akan lepaskan Khairul hanya di tempat yang betul"

Khairul dipeluk jurulatihnya selepas mencatat rekod baharu acara 200 meter pada 2017.

KETUA jurulatih olahraga pecut negara, Mohd Poad  Kassim menafikan dakwaan pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana terlalu ego dan mementingkan diri.

Poad memberitahu, tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim itu tidak benar.

Jurulatih kepada jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan atau Speedy Jantan ini memberitahu, dia mempunyai alasan dan sebab tersendiri sehingga dilabel sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN"Jangan ego!", KOM tegur jurulatih 'Speedy Jantan'

ARTIKEL BERKAITAN: The Flying Youth' Gelaran Buat Khairul Hafiz

"Saya memang jurulatih utama Khairul. Siapa yang tidak mahu lihat atlet ini pergi lebih jauh.

"Saya yakin beliau (Karim) berkata demikian selepas saya menolak cadangannya untuk membawa jurulatih dari Amerika Syarikat ke Malaysia," demikian katanya kepada mStar apabila diajukan mengenai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Mohd Poad, beliau tidak bersetuju kerana ia satu pembaziran kerana sudah ramai jurulatih luar yang datang ke sini, tetapi hanya seorang atlet sahaja yang menonjol.

"Kita tengok contoh jurulatih atlet cakera, Frank Petrovic, hanya Muhammad Irfan Shamsuddin sahaja menonjol ke peringkat tertinggi. Yang lain?

"Kalau bawa jurulatih luar dan dapat membuatkan ramai atlet berjaya, itu tidak ada masalah bagi saya.

Khairul Hafiz Jantan

"Dan yang penting sekali, tidak akan ada peningkatan kerana atlet kita akan tetap berlatih di sini, tiada saingan kompetitif," jelasnya.

Poad turut memberitahu, dia tidak dipanggil ketika mesyuarat KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) membincangkan perkara ini.

"Macam mana beliau boleh kata saya tidak bersetuju? Saya hanya tahu perkara ini selepas ditanya oleh pemberita mengenai pendapat saya.

"Sebenarnya saya berharap supaya Khairul dihantar berlatih di Amerika Syarikat. Bukannya membawa jurulatih ke sini.

"Jika di sana, Khairul boleh bersaing lebih baik berbanding di sini. Banyak benda dia boleh belajar.

"Kalau betul nak tengok dia ke peringkat lebih jauh hantar sahaja dia ke sana.

"Jadi tidak timbul masalah mengatakan saya ni tak mahu lepaskan Khairul. Saya hanya akan lepaskan dia di tempat yang betul.

"Saya adalah jurulatih yang melahirkan atlet pelapis. Ramai atlet yang saya lahirkan, jadi tidak timbul rasa ego atau sebagainya.

"Amerika Syarikat memang tempat paling sesuai untuk berlatih. Atlet pecut kita seorang lagi Jonathan Nyepa kini berada di sana dengan perbelanjaan sendiri," katanya.

Untuk rekod, Khairul merupakan pemegang rekod 100 meter negara 10.18 saat serta pemenang pingat emas Sukan SEA 2017.

Speedy Jantan, Mohd Poad, KOM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain