suria

Mehmed puas hati walupun Perak menang tipis

Mehmed Durakovic.

PENGENDALI Perak, Mehmed Durakovic berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun sekadar meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan dalam pusingan kedua aksi Shopee Piala FA 2019 di Stadium Perak, di Ipoh malam Rabu.

Beliau berkata ini kerana fokus utama skuad The Bos Gaurus adalah untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga kejohanan.

"Bagi saya, kita sememangnya layak untuk menang pada malam ini (malam tadi), mungkin jumlah jaringan itu boleh ditingkatkan jika para pemain berjaya menyudahkan dua atau tiga peluang yang terhasil sepanjang perlawanan.

"Apa pun, saya berpuas hati kerana kita berjaya layak ke peringkat seterusnya walaupun saya akui tentangan sengit dipamerkan pihak lawan," katanya pada sidang media sejurus selesai perlawanan, malam Rabu.

Dalam perlawanan yang disaksikan 2,000 penyokong itu, dua gol diperoleh pasukan tuan rumah menerusi Nazirul Naim pada minit ke-49 dan Muhammad Shahrel Fikry Md Fauzi pada minit ke-78.

Gol saguhati Negeri Sembilan pula dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Jose Barros pada minit-67.

Kemenangan itu juga membolehkan Perak layak ke pusingan ketiga kejohanan berkenaan yang mula diperkenalkan pada tahun 1990.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan Mat Zan Mat Aris berkata meskipun akur dengan kekalahan tersebut, beliau tidak menyangka anak buahnya mampu menyaingi kehebatan Perak selaku juara Piala Malaysia pada tahun lepas.

"Kita bermain baik namun mungkin disebabkan sedikit kelalaian pada penghujung babak kedua menyebabkan kita kalah. Bagaimanapun, saya puji sikap pemain yang mampu menyaingi kekuatan pasukan Perak," katanya.

Beliau berkata fokus pasukannya selepas ini adalah untuk menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam perlawanan Liga Premier yang bakal berlangsung pada 12 April nanti.

"Kita harap rehat lebih seminggu ini akan digunakan sebaiknya untuk mengatur strategi bagi menghadapi JDT II. Kita tahu ia bukan tugas yang mudah namun saya percaya dengan kekuatan pasukan, kita mampu lakukan kejutan," katanya. - BERNAMA

Mehmed Durakovic, Perak, Piala FA

Artikel Lain