Malaysia ke final Piala AFF Suzuki! - Sukan | mStar

Malaysia ke final Piala AFF Suzuki!

PETALING JAYA:  Malaysia mengulangi kejayaan mara pentas akhir Piala AFF Suzuki apabila berjaya mengikat Thailand dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu.

Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat skuad anak buah Tan Cheng Hoe untuk bangkit mengejar hingga ke wisel penamat.

Lebih manis  gol kedua yang dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha pada babak kedua membawa Harimau Malaya ke final mengetepikan juara bertahan Gajah Perang itu dengan kelebihan bermain di tempat lawan.

Kali terakhir Malaysia mara ke final pada tahun 2014, namun tewas di tangan Thailand.

Malaysia bakal menentang Vietnam atau Filipina di pentas akhir pada 11 dan 15 Disember ini.

Sebagai rekod, Malaysia mencatat dua kemenangan dengan 1-0 ke atas Kemboja dan 3-1 dengan Myanmar serta tewas 2-0 kepada Vietnam dalam saingan peringkat kumpulan sebelum bertemu Thailand dalam saingan separuh akhir ini.

Dalam pada itu Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui tugas Harimau Malaya belum selesai.

"Perjuangan kita belum selesai. Masih ada dua lagi baki perlawanan yang perlu dihadapi pada di Bukit Jalil (11 Dis) dan 15 Disember di tempat lawan, sebelum kita dapat menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam sejarah. 

"Terus fokus dan berusaha.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong pasukan Malaysia dan juga Ultras Malaya yang telah sama-sama hadir ke stadium malam ini bagi memberikan sokongan tidak berbelah bagi buat skuad Harimau Malaya.

"Tidak dilupakan juga, seluruh rakyat Malaysia di tanah air yang turut mendoakan kejayaan pasukan kita pada aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 menentang Thailand ini, seterusnya kita berjaya melangkah ke pentas final," ujarnya dalam satu kenyataan selepas perlawanan.

Selain itu, kejayaan skuad negara ini turut diraikan 'ekor' Harimau Malaya yang hadir pada acara 'Sorak Bola Suria' bersama penyampai-penyampai radio Suriafm termasuk DJ Lin, Halim Othman, Tyzo dan Suraya Borhan di Shah Alam.

Senarai pemain

THAILAND: 1. Chatchai Budprom (GK), 4. Chalermpong Kerdkaew (C), 6. Pansa Hemviboon, 8. Thitipan Puangchan, 9. Adisak Kraisorn, 11. Mongkol Tossakrai, 13. Philip Roller, 17. Tanaboon Kesarat, 22. Supachai Jaided, 24. Korrakot Wiriyaudomsiri, 29. Sanrawat Dechmitr.  (Simpanan) 2. Chananan Pombuppha, 5. Mika Chunuonsee, 7. Sumanya Purisai, 14. Nurul Sriyankem, 15. Suphan Thongsong, 16. Sasalak Haiprakhon, 19. Kevin Deeromram, 21. Pokklaw Anan, 23. Siwarak Tedsungnoen (GK), 25. Pakorn Prempak, 31. Saranon Anuin (GK).

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (GK); 4. Syahmi Safari, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak, 3. Shahrul Saad, 21. Nazirul Naim Che Hashim; 12. Akram Mahinan, 14. Syamer Kutty Abba; 13. Mohamadou Sumareh, 9. Norshahrul Idlan Talaha, 11. Safawi Rasid; 8. Zaquan Adha Abd Radzak (C).  (Simpanan): 2. Amirul Azhan Aznan, 5. Adam Nor Azlin, 6. Syazwan Andik Ishak, 10. Shahrel Fikri Md Fauzi, 15. Kenny Pallraj, 16. Syazwan Zainon, 17. Irfan Zakaria, 18. Syafiq Ahmad, 19. Akhyar Rashid, 20. Ahmad Hazwan Bakri, 22. Khairul Fahmi Che Mat (GK), 23. Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (GK).

Piala AFF Suzuki

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mak Nyah maut dibelasah sekumpulan lelaki