suria

"Tolong layan atlet para sama rata, konsisten!"

Atlet para Malaysia pada perasmian Sukan Paralimpik di Rio 2016.

PETALING JAYA: Peminat sukan negara mahu atlet para dilayan sama rata dan konsisten dalam apa juga keadaan termasuk latihan, imbuhan dan peluang serta kelengkapan ketika bertanding di kejohanan dalam serta luar negara.

Hampir sebulan sahaja lagi Sukan Para Asia bakal membuka tirai, kontinjen paralimpik negara masih belum ada pakaian rasmi pada temasya yang berlangsung di Indonesia itu.

Salah seorang pengguna Twitter, Mohamad Khairul Nizam meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membantu mereka.


Menurut Khairul, atlet paralimpik tidak sepatutnya dianaktirikan selepas mencipta pelbagai kejayaan di peringkat dunia.

"Mereka yang merangkul pingat emas Paralimpik untuk Malaysia dahulu. Bukan itu sahaja pelbagai rekod baru dicipta oleh mereka.

"Saya sebagai peminat sukan tanah air sedih apabila kelengkapan untuk mereka di pentas Asia ini tidak dapat disediakan.

"Saya sedar mereka memang dilayan sama rata seperti atlet normal yang lain, tetapi ianya tidak konsisten.

"Apabila menang pingat emas, mereka dijulang. Namun sebaliknya yang berlaku hari ini.

"Sepatutnya MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) memberitahu masalah yang dihadapi mereka sejak awal lagi, bukan dalam tempoh terdekat ini.

"Saya percaya ramai ahli perniagaan tempatan yang sanggup membantu atlet-atlet ini," jelasnya kepada mStar Online.

Tambah Khairul, selepas status di Twitter itu, beberapa orang menghantar mesej bertanyakan bentuk sumbangan yang boleh diberikan.

"Apa yang boleh saya tolong, saya akan tolong. Malah kami semua bukan sesiapa, cuma peminat sukan dan penyokong atlet para Malaysia," katanya.

Bagaimanapun Khairul percaya, isu yang timbul ini tidak akan mematahkan semangat kontinjen para negara.

"Kelebihan mereka adalah semangat. Tekanan hidup membuatkan mereka mengambil situasi ini sebagai motivasi untuk membuktikan kejayaan.

"Namun sepatutnya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka ini," jelasnya.

Sebelum ini pemenang pingat emas Sukan Paralimpik di Rio, Muhammad Ziyad mengakui situasi ini tidak mengganggu fokus mereka.

Manakala atlet pralimpik Abdul Latiff Romly yang menjulang nama selepas lompatan emas di Rio memberitahu bahawa tidak ada guna memakai pakaian cantik, namun gagal memberi keputusan yang baik.

"Ia mungkin lebih cantik jika dapat memakai pakaian rasmi negara, tetapi tanpanya kami tetap baik. Fokus di sana bukan untuk lihat cantik, tetapi kemenangan," ujarnya.

Sukan Para Asia 2018 akan berlangsung dari 6 hingga 13 Oktober diwakili 140 atlet para dengan menyertai 15 daripada 18 jenis sukan yang dipertandingkan.

Atlet para, Pakaian

Artikel Sebelum

Semangat bola punya pasal!

Artikel Berikut

Maradona kembali jadi jurulatih

Artikel Lain