suria

Mat Don Pemain Terbaik Liga Super edisi Mei

ALOR SETAR: Pemain import tengah Kedah dari Kosovo, Liridon Krasniqi dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) – asiana.my bagi edisi Mei 2018.

Presiden PFAM Rezal Zambery Yahya berkata Liridon meraih anugerah itu selepas menerima undian tertinggi 3,542 undi (53.82 peratus) dengan mengalahkan empat pencabarnya.

Katanya Gonzalo Carbrera dari Johor Darul Ta'zim (JDT) pula menerima 1,127 undi (17.13 peratus), ketiga ialah Hafiz Ramadan dari PKNP FC memperoleh 1,125 undi (17.10), Khairul Fahmi Che Mat dari Melaka United mendapat 535 undi (8.13) dan Wander Luiz dari Perak FA 251 undi (3.82).

“Pada edisi April lalu, pemain import Kedah dari Brazil Sandro Da Silva meraih anugerah sama dan ini menunjukkan prestasi pasukan Kedah berada dalam keadaan baik sehingga dua pemain importnya mendapat anugerah itu bagi dua edisi berturut-turut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah itu di Stadium Suka Menanti di sini, Isnin.

Turut hadir, Setiausaha PFAM Ahmad Fauzi Saari, Exco PFAM Baddrol Bakhtiar dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Selaku pemenang, Liridon menerima trofi dan gambar sumbangan asiana.my, wang tunai RM1,500 sumbangan 139associates dan MK, jersi  tajaan PaddyGear, produk minuman melalui BB7, barangan sukan daripada AY Sports serta perapi rambut oleh Major Pomade.

Sementara itu, orang ramai boleh membuat undian melalui laman web rasmi PFAM, www.pfam.mysetiap bulan selepas senarai nama pencalonan dimasukkan ke dalam laman web berkenaan.

“Semoga anugerah ini menjadi pendorong kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi mereka bersama pasukan masing-masing,” katanya.-Bernama

Liridon Krasniqi, Kedah, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain