suria

Kelantan rombak benteng pertahanan bertemu Perak

Aksi Kelantan (merah) bertemu Kuala Lumpur bulan lalu.

KOTA BHARU: Kelantan akan melakukan rombakan terhadap benteng pertahanannya bertemu Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Selasa.

Pemangku  jurulatih The Red Warriors (TRW) Yusri Che Lah berkata langkah itu perlu diambil bagi memastikan Kelantan tidak lagi mengalami kekalahan dalam baki enam perlawanan bagi mengelak pasukan itu tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

“Kita adakan perubahan di bahagian tersebut kerana ia dilihat sering 'terbuka' apabila diserang pemain lawan.

“Saya harap pemain terutama di jentera serangan faham dan terjemahkan dalam perlawanan kerana kita tidak lagi boleh menerima sebarang kekalahan kerana ia menyukarkan pasukan untuk kekal dalam Liga Super,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, Isnin.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Perlis itu berkata barisan penyerang TRW juga seharusnya mempunyai sikap matang apabila mempunyai peluang menjaringkan gol.

"Kematangan di barisan serangan akan wujud apabila pemain sendiri ada daya usaha menyudahkan peluang terhidang.

"Apa pun kita tidak boleh menyerah kalah begitu sahaja. Pemain perlu ambil pendekatan tidak kira macam mana pun kerana kita perlu mengutip sebanyak mungkin mata dalam baki enam perlawanan itu,” katanya.

Beliau turut mengharapkan penyerang import dari Brazil, Cristiano Marcolino Santos  pulih daripada kecederaan bagi memperkuatkan jentera serangan pada perlawanan Selasa malam.

"Kami harap kecederaan paha dia sudah pulih untuk diturunkan beraksi membantu kita kerana pasukan ketika ini tidak cukup pemain import. Jadi mahu tidak mahu dia terpaksa diturunkan juga atau pun semua pemain beri sokongan kepadanya beraksi malam esok," katanya.

Kelantan kini berada di kedudukan ke-12 dan tercorot liga dengan hanya mengumpul 11 mata selepas 16 perlawanan hasil tiga kemenangan, dua seri dan 11 kekalahan.-Bernama

Kelantan, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain