suria

Tiada peluang kedua buat Piya, Amiridzwan

Mohd Badri Mohd Radzi.

PETALING JAYA: Kelantan tetap dengan keputusan untuk tidak menggunakan khidmat pemain senior, Mohd Badri Mohd Radzi atau Piya dan Amiridzwan Taj Tajudin dalam mengharungi baki enam perlawanan Liga Super musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata perkara itu mustahil berlaku kerana kedua-dua pemain berkenaan sudah lama tidak berlatih bersama pasukan.

"Rasanya agak mustahil untuk mereka bersama pasukan. Buat masa ini kita hanya fokus dengan skuad sedia ada.

"Diharap mereka cuba memberi sokongan kepada pasukan yang pernah mereka wakili sebelum ini," kata Bibi.

Pada masa sama, Bibi menegaskan kejatuhan mutu bola sepak Kelantan turut berpunca daripada sikap segelintir penyokong yang sengaja ingin melihat pasukan sendiri jatuh tersungkur.

"Ini mungkin disebabkan rasa tidak puas hati mereka kerana beberapa individu yang mereka sanjung tiada dalam perancangan pasukan," katanya.

Justeru Bibi berharap agar tiada lagi cerita tidak baik mengenai Kafa timbul selepas ini.

Amiridwan Taj Tajudin.

"Marilah kita sama-sama berganding bahu berusaha menaikkan kembali imej pasukan.

"Sukan ini untuk perpaduan bukan untuk melahirkan penyokong yang bebas mengkritik serta tidak dapat menerima perubahan," katanya.

Terdahulu, pemain kebangsaan dan Kelantan era 80-an, Mohd Anizan Daud mahu Kafa bersikap terbuka dengan menggunakan kembali khidmat Mohd Badri dan Amiridwan Taj untuk melakukan perubahan sekali gus mengelak Kelantan tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

"Prestasi pasukan ketika ini sangat lemah untuk kekal dalam Liga Super kerana pemain muda yang ada tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk beraksi dalam saingan tersebut.

“Sebagai bekas pemain Kelantan, saya yakin formula menggandingkan pemain muda dan senior boleh menjadi antara resepi kejayaan kepada Kelantan,” kata Mohd Anizan.

Pada musim ini, Kelantan mengambil risiko besar dengan mempertaruhkan hampir 100 peratus ‘ubi muda' bagi membarisi pasukan berkenaan, namun perancangan tersebut dilihat ‘memakan' diri sendiri apabila TRW kini berada di zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan.

Kelantan kini berada di kedudukan ke-12, iaitu tercorot liga dengan hanya mengumpul sebelas mata selepas 16 perlawanan hasil tiga kemenangan, dua seri dan 11 kekalahan.

Piya, Amiridzwan Taj, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain