suria

Penyerang Brazil sah perkuat JDT

Jorge Santos Silva.

PETALING JAYA: Meskipun jendela perpindahan pemain belum dibuka secara rasmi, Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan langkah awal dengan menyambar pemain import baharu dari Brazil untuk memperkukuh skuad kendalian Raul Longhi bagi mengharungi baki perlawanan musim ini.

Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest pada Jumaat mengesahkan pasukan itu berjaya mendapatkan khidmat, Jorge Santos Silva dari Al-Batin FC.

Prest berkata penyerang berusia 31 tahun itu akan menyertai JDT sebaik jendela perpindahan dibuka pada 7 Mei hingga 3 Jun ini.

"Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain yang berkaliber dan pemain yang dahagakan sesuatu pencapaian terbaik, serta ingin menjadi sebahagian daripada kelab yang paling pesat berkembang dan sentiasa mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya dalam segala aspek," katanya menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

Jorge Santos Silva.

Kehadiran penyerang tinggi lampai itu pastinya memantapkan jentera serangan JDT yang kini dibarisi Gonzalo Cabrera dan seorang lagi penyerang import yang dibawa masuk iaitu Harry Novillo.

Jorge atau lebih dikenali sebagai Jou Silva sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Daegu dari Korea Selatan pada 2008.

Kini JDT merupakan destinasi Asia ketiganya selepas Korea Selatan dan Arab Saudi.

Jorge juga merupakan pemain ketiga menyertai JDT selepas Novillo dan bekas pemain Pahang Kiko Insa.

JDT kini menduduki tangga teratas Liga Super, meninggalkan Pahang di tempat kedua dengan mengutip 21 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.

JDT, Jorge Santos Silva

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain