suria

Apek dirisik dua kelab

Khairul Fahmi Che Mat.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan menerima tawaran daripada sebuah kelab Liga Super yang berminat untuk merisik penjaga gol The Red Warriors (TRW), Khairul Fahmi Che Mat atau Apek.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata Kafa baru sahaja menerima surat tawaran daripada Melaka United, Rabu, yang menyatakan minat terhadap Apek.

"Kita sudah terima tawaran rasmi daripada Melaka United. Difahamkan ada sebuah lagi pasukan turut berminat terhadap Apek tetapi belum ada tawaran rasmi dibuat," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Bibi berkata rundingan dengan Melaka United masih dijalankan dan kata putus mengenai tawaran tersebut akan dimuktamadkan sebelum awal bulan depan.

"Kita masih di peringkat perbincangan. Tunggu beberapa hari lagi untuk kita fikirkan mengenai tawaran tersebut," katanya.

Sementara itu, status kapten Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya bersama TRW masih samar berikutan tiada kata putus dicapai berhubung kontraknya.

Status Piya masih samar.

Menurut Bibi, Piya sudah dimaklumkan mengenai keputusan ketua jurulatih, Fajer Ibrahim bahawa dia tiada lagi dalam perancangan skuad utamanya dalam satu pertemuan pada petang Rabu.

"Saya bertemu Piya dan Apek petang semalam untuk memaklumkan mengenai keputusan 'coach' yang mahu mereka dilepaskan.

"Buat masa ini, hanya Apek yang sudah dirisik, Piya belum ada. Jadi kita tak boleh nak putuskan mengenai kontrak Piya," katanya.

Bagaimanapun buat masa ini Bibi berkata kedua-dua pemain tersebut masih ada lagi kontrak bersama Kafa sehingga tawaran daripada kelab lain dimuktamadkan.

"Nak lepaskan kena persetujuan kedua-dua belah pihak tetapi tiada gunanya juga untuk terus bersama pasukan andai tidak diturunkan jurulatih.

"Kita harap Piya pun dapat pasukan baharu. Kita akan cuba bantu dia cari pasukan baharu demi karier masa depannya," kata usahawan batik itu.

Sebelum ini mStar Online melaporkan, Kafa terpaksa melepaskan Piya dan Apek kerana mereka tiada dalam perancangan Fajer yang mengendali pasukan itu Mac lalu.

Fajer berkata punca sebenar dua ayam tambatan itu dilepaskan adalah kerana mereka tidak dapat mengikut corak permainan yang diterapkannya.

"Secara umumnya, mereka tiada dalam perancangan saya. Mereka tak boleh nak ikut dan bermain seperti yang diperlukan dalam bola sepak terutamanya Piya," kata pengendali dari Syria itu.

Apek, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Salah dapat tanah di Makkah

Artikel Lain