suria

Netizen Tak Cukup Oksigen - Khalid Ali

Khalid Ali.

PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menegaskan kritikannya selama ini bukan bermakna beliau mahukan jawatan ketua jurulatih bola sepak kebangsaan.

Sebaliknya, apa yang diluahkan sekadar pandangan beliau sebagai bekas pemain kebangsaan yang mahu melihat mutu bola sepak negara berubah wajah.

"Saya tak hadap pun jawatan tersebut, buang masa sahaja. Bukan saya maksudkan kalau saya dilantik sebagai jurulatih, skuad kebangsaan boleh naik... tak ada. Saya hanya beri pandangan atas kapasiti sebagai bekas pemain kebangsaan.

"Tapi ada orang yang menyindir saya dengan menamakan saya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan. Saya tak layan orang-orang macam ini... bagi saya mereka ini sangat kecil dan ibarat kekurangan 'oksigen'," katanya kepada mStar Online.

Jelas Khalid, netizen sebenarnya salah anggap mengenai setiap kritikan yang dilemparkannya terhadap bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada.

"Mereka tak faham apa yang saya maksudkan. Saya hanya beri cadangan selepas melihat situasi bola sepak negara yang jatuh merudum. Saya bukan nak menjatuhkan maruah sesiapa tapi nak tengok pasukan negara ini naik.

"Saya tahu tahap permainan saya. Saya pernah bermain bersama beberapa pasukan hebat sehingga saya boleh duduk di Brazil selama dua bulan kemudian ke Australia sebelum dipanggil berlatih bersama Hamburg FC. Cuma saya tak pergi ke Jerman kerana dihalang keluarga," katanya.

Bagaimanapun, beliau masih mengharapkan satu perubahan yang lebih baik dalam bola sepak di bawah pengurusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya masih menaruh harapan sebab saya tahu tak ada yang lebih baik selain Tunku Ismail. Pada saya beliau ada misi, personaliti, kuasa dan juga duit. Tak dinafikan ada sedikit perubahan dalam pengurusan baharu tapi mereka kena beri tumpuan pada program peringkat akar umbi.

"Nak ubah pasukan tak boleh dalam masa setahun. Saya dah cakap ia akan ambil masa lama... lima, tujuh atau 10 tahun. Itupun 10 tahun baru nak ketuk pintu Korea tapi dijemput masuk kita tak tahu lagi. Apa-apa pun kita fokus dulu program akar umbi," katanya.

Terdahulu, Khalid lantang mengkritik Vingada dan menasihatinya supaya meletak jawatan susulan prestasi buruk Harimau Malaya.

Vingada akhirnya melepaskan jawatannya pada Rabu kerana bertanggungjawab terhadap prestasi skuad kebangsaan yang merudum sepanjang kendalian beliau sejak Mei lalu.

Skuad Harimau Malaya menjunam ke kedudukan paling buruk dalam sejarah bola sepak negara apabila menduduki tangga ke-174 dunia yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), November lalu.

Khalid Ali, Nelo Vingada

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hazard Mahu Zidane Ganti Conte

Artikel Lain