suria

Coutinho Terus Berteka-Teki

PHILIPPE Coutinho berazam meneruskan prestasi terbaiknya untuk Liverpool tetapi enggan memberi jaminan mengenai masa depannya di Anfield.

Pemain kebangsaan Brazil itu masih kecewa apabila permohonannya untuk berhijrah ke Barcelona ditolak pada musim panas lalu.

Malah, Barcelona beberapa kali cuba mendapatkan khidmat perancangan Brazil itu pada perpindahan musim panas lalu tetapi ia sentiasa ditolak sekali gus mengecewakan kelab Catalan itu.

Sejak itu, spekulasi membabitkan masa depannya bersama The Reds berterusan dan selepas meledak hatrik ketika Liverpool membelasah Spartak Moscow 7-0, pada Khamis, kelab gergasi itu dilaporkan sedia untuk membawanya ke Sepanyol.

"Sekarang saya berada di Liverpool dan saya sentiasa melakukan yang terbaik apabila diberikan peluang untuk bermain, menghormati jersi dan juga peminat.

"Namun pada musim panas lalu, saya tertarik dengan tawaran diterima daripada kelab lain. Memandangkan saya masih kekal di sini, saya akan bermain dengan penuh semangat.

"Sudah tentu banyak perkara berlaku pada musim panas lalu tetapi keinginan saya sentiasa ingin bermain dan melakukan yang terbaik di sahaja saya berada. Itu tidak akan berubah."Saya di sini (Liverpool), kami ada banyak perlawanan dan saya akan cuba yang terbaik untuk membantu pasukan," katanya.

Hatrik di Spartak adalah yang pertama buat Coutinho bersama Liverpool dan dia menggambarkan kejayaan kelab itu mara ke pusingan berikutnya sebagai pencapaian yang membanggakan.

“Ia adalah malam yang istimewa kerana keputusannya dan juga saya mendapat memakai lilitan di lengan dalam perlawanan yang amat penting buat kelab seperti Liverpool.

“Sudah pasti ini adalah hatrik saya yang palik mustahak. Di Liga Juara-Juara, ia adalah yang pertama buat saya. Saya melakukannya sekali untuk Brazil tetapi ia tidak sepenting ini," katanya.

Philippe Coutinho

Artikel Sebelum

Masih Belum Cukup!

Artikel Berikut

Ronaldo Raih Ballon d'Or Kelima

Artikel Lain