suria

Ronaldo Raih Ballon d'Or Kelima

BINTANG Real Madrid Cristiano Ronaldo terus melakar sejarah baharu dalam kariernya apabila memenangi anugerah berprestij Ballon d'Or buat kali kelima.

Kemenangan terbaharu itu membolehkan Ronaldo menyamai pencapaian seteru utamanya dari Barcelona, Lionel Messi yang pernah menjulang gelaran itu sebanyak lima kali.

Messi sekadar berada di tempat kedua manakala Neymar dari Brazil ketiga.

Ronaldo, 32, menerima trofi berprestij itu dalam satu majlis yang diadakan di Menara Eiffel, Paris.

Kejayaan Ronaldo merupakan satu pencapaian sempurna apabila dia muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara yang menyaksikan kelabnya menewaskan Juventus pada final selain mengetuai kelab gergasi Sepanyol itu memenangi kejuaraan La Liga pertama dalam tempoh lima tahun.

"Sudah tentu saya berasa gembira. Ini sesuatu yang saya nantikan setiap tahun.

"Ia anugerah sama dimenangi tahun lalu (kali kedua berturut-turut), terima kasih kepada rakan sepasukan di Real Madrid dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu saya mencapai tahap ini," katanya.

Sebelum ini, Ronaldo memenanginya trofi itu sebanyak empat kali iaitu pada 2008, 2013, 2014 dan 2016.

Malah dia turut dinobat selaku pemenang anugerah Pemain Terbaik FIFA di London dua bulan lalu.

Dia menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan untuk Real musim lalu selain meledak 15 gol buat pasukan kebangsaannya sepanjang kelayakan Piala Dunia 2018.

Pada Piala Dunia di Rusia tahun depan, sudah pastinya Portugal akan hadir selaku pasukan pilihan dengan status juara Eropah selepas berjaya menumbangkan Perancis pada final tahun lalu ketika Ronaldo mengetuai pasukannya.

"Saya harap dapat terus bermain di peringkat ini untuk beberapa tahun lagi, malah saya anggap persaingan dengan Messi sesuatu yang sihat dan harap ia akan berterusan.

"Musim ini cukup baik bagi perjalanan karier saya dan tidak sabar untuk menanti musim depan," katanya.

Apabila ditanya sama ada dia mahu menamatkan kerjayanya di Santiago Bernabeu, Ronaldo berkata: "Saya gembira di Real Madrid, saya mahu kekal di sana." 

Cristiano Ronaldo, Ballon d'Or

Artikel Sebelum

Coutinho Terus Berteka-Teki

Artikel Berikut

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain