suria

Pemain Felda United Perlu Jaga Mental

PETALING JAYA: Pengendali Felda United tidak mahu isu ditendangkan ke Liga Perdana musim depan sebagai 'masalah' untuk skuadnya.

B. Sathianathan memberitahu, tindakan yang perlu dihadapi kelab itu diakui satu kejutan tetapi ia tidak tidak akan melemahkan semangat pemain.

"Mental semua pemain perlu kuat. Apa yang penting kami akan buktikan bahawa skuad ini sepatutnya berada di Liga Super.

"Kami juga perlu pastikan setiap kemenangan menjadi milik Felda United sebelum menyasarkan untuk merangkul trofi juara Liga Perdana," ujarnya kepada mStar Online.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu menmberitahu bahawa, perjalanan dalam Liga Perdana bukanlah mudah.

"Apa yang penting kami tidak boleh memandang rendah terhadap setiap pasukan yang bertanding dalam liga ini. Kami juga mungkin menjadi antara pasukan yang menjadi perhatian setiap perlawanan.

"Saya mahu semua pemain memberi fokus dalam saingan merebut juara musim depan sebelum menumpukan perhatian dalam aksi Piala FA dan Piala Malaysia," ujarnya yang mengakui The Fighters dalam persiapan rapi untuk musim baharu nanti.

Isnin lalu, Kerjasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan Felda United diturunkan pangkat ke Liga Perdana gara-gara gagal melengkapkan dokumen membabitkan penyata kewangan ketika proses permohonan Lesen Kelab.

Biarpun bekerja keras menempatkan diri di kalangan tiga pasukan terbaik Liga Super 2017, ia tidak mampu menghalang Felda United untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super 2018.


Felda United, B.Sathianathan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain