suria

Musim Manis Buat Kedah!

Pemain Felda United FC Mohd Alif Mohd Yusof (kanan) cuba merampas bola daripada pemain Kedah Baddrol Bakhtiar (kiri) semasa perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, malam Sabtu. -fotoUtusanKedah

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff menyifatkan Liga Malaysia 2017 merupakan musim manis buat skuad Lang Merah.

Ini kerana Kedah sekali lagi layak ke final Piala Malaysia musim ini dan di awal musim turut menjulang Piala Sumbangsih.

"Musim yang sangat manis bermulanya 2017 dengan menjuarai Piala Sumbangsih bertemu JDT dan sekali lagi akan berlaku pertemuan dengan JDT pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam di mana padang itu ramai disukai pemain-pemain bola sepak tempatan termasuk Kedah," katanya pada sidang media di sini malam Sabtu.

Dalam perlawanaan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Felda United malam tadi, Kedah menang 2-0 atau dengan agregat 3-1.

Mengenai persiapan Kedah di final nanti, Mohd Nidzam berkata beliau akan menggunakan sepenuhnya tonggak utama termasuk Ken Ilso Larse,  Liridon Krasniqi dan Khairul Helmi Johari yang tidak diturunkan malam tadi akibat kecederaan atau digantung perlawanan.

"Kita akan cuba dan berusaha kalau ada rezeki sekali lagi di (Stadium) Shah Alam, tidak mustahil kita menang dan akan berusaha untuk menggunakan Ken Ilso di final nanti," katanya.

Mengenai perlawanan malam tadi, beliau berkata corak permainan sebagai satu pasukan serta patuh pada arahan menjadi kunci kejayaan buat Kedah walaupun tanpa Ken Ilso dan Liridon di bahagian tengah.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan layak ke final lagi dan saya nak ucap tahniah dan ‘salute' kepada pemain-pemain yang bermain sangat baik walau tanpa beberapa tonggak utama.

"Mereka mengikut arahan dan sabar mencari gol dalam serangan-serangan yang dilancarkan," katanya yang turut berterima kasih kepada para penyokong yang memberi sokongan padu selama ini.

Bagi Sandro Da Silva Mendonca, untuk menentang JDT di final bukan mudah kerana JDT adalah pasukan yang kuat di Liga Malaysia ketika ini.

"Kedah kena kerja kuat untuk main sekali lagi dengan JDT, ini bukan mudah sebab mereka pasukan kuat tapi saya yakin Kedah mampu menang dan mempertahankan kejuaraan," katanya.

Sementara itu Ketua jurulatih Felda United, B. Satiananthan berkata sikap ambil mudah adalah antara penyebab pasukannya kalah malam tadi.

"Separuh masa pertama kita tak main tapi Kedah saja yang main. Kita beri peluang Kedah banyak bergerak dan mereka kuasai perlawanan. Mungkin kita fikir mudah sebab dia tak ada tiga tonggak dan ambil mudah, tak ada tackle dan tak ada pergerakan," katanya.

Namun beliau berpuas hati dengan pretasi anak buahnya apabila berjaya membuat serangan berbahaya terutama  daripada Thiago Augusto Fernandes dan  Ifedayo Olusegun Patrick Omo Suyi.

Beliau turut memuji pasukan Kedah yang bermain begitu baik dan pandai mengambil peluang dengan serangan balas pada akhir babak perlawanan hingga menjaringkan dua gol. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain