suria

Empat Pemain Tonggak Kedah Cedera

Pemain pasukan Kedah, Liridon Krasniqi diasak oleh pemain Kuala Lumpur, Zhafri Yahya sambil diperhatikan Badrrol Bakhtiar pada perlawanan Piala FA 2017 di Stadium Darul Aman pada 14 Februari 2017. - BERNAMA

PENDAHULU Liga Super, Kedah terpaksa melupakan khidmat empat pemain utama apabila bertandang ke Ipoh bagi aksi Piala FA pada Sabtu.

Ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe berkata, empat pemain tersebut ialah Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari, Farhan Roslan dan Syafiq Ahmad yang masih dilbelenggu kecederaan.

Jelasnya, kesemua mereka memerlukan masa untuk pulih daripada kecederaan sebelum kembali cergas sepenuhnya.

“Walaupun kehilangan empat tonggak utama, namun kita tidak perlu panik kerana barisan pemain simpanan memiliki kemampuan untuk memastikan prestasi pasukan tidak akan pincang ataupun menurun apabila beraksi di Ipoh.

"Setelah tiga tahun bersama mereka, saya cukup mengenali dan tahu kelebihan serta kemampuan mereka, sekali gus memberi kelebihan buat kita.

"Oleh itu saya yakin kita tidak menghadapi kesukaran jika tonggak utama tidak diturunkan kerana situasi sama pernah dilalui sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Beliau menambah, walaupun Baddrol sudah kembali menjalani latihan ringan namun dia memerlukan masa untuk mengatasi kecederaanya itu.

Menurutnya, sebagai jurulatih, dia juga tidak mahu terburu-buru menurunkan pemain berusia 29 tahun itu kerana bimbang dengan risiko tercedera semula.

"Pada masa sama saya lega kerana Rizal Ghazali yang beraksi sebagai pemain pertahanan kanan mampu beraksi pada perlawanan ini setelah menjalani hukuman pergantungan satu perlawanan.

"Pertahanan perlu lebih mantap bagi membendung segala asakan penyerang Perak dan pertahanan lawan kita ini juga telah membuktikan kekebalan mereka dengan menghampakan barisan Selangor pada perlawanan Sabtu lalu di Selayang," katanya.

Kedah, Tan Cheng Hoe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain