suria

Khairy Turut Dicalon Rebut Jawatan Presiden FAM

PETALING JAYA: Perebutan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak (FAM) dijangka lebih 'panas' apabila nama Khairy Jamaluddin turut tersenarai pada Kongres Tahunan FAM Ke-53 yang bakal berlangsung Mac ini, sekali gus membuka peluang kepada Menteri Belia dan Sukan itu merebut kerusi tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

Menurut sumber terdekat dengan FAM, Khairy dicalonkan oleh salah satu badan gabungan FAM yang terdiri daripada 20 anggota.

Ujar sumber itu, Khairy layak memegang jawatan utama badan induk bola sepak negara ini sekiranya Kabinet membenarkannya.

"Bagi saya apabila nama Khairy turut dicalonkan, ia merupakan langkah yang bagus untuk bola sepak negara.

"Saya harap beliau dapat membentuk pentadbiran baharu untuk membawa FAM ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kerana saya tidak mempercayai proksi," jelas sumber terbabit kepada mStar Online pada Isnin.

Dalam pada itu, antara nama-nama lain yang dikhabarkan turut disenaraikan sebagai calon utama termasuk Tan Sri Aseh Che Mat (bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan).

Penyerahan nama-nama calon bagi calon Presiden FAM akan berakhir pada lewat Isnin.

Manakala senarai akhir pencalonan akan diumumkan pada 20 Februari ini sebelum Kongres FAM ke-53 diadakan pada 25 Mac depan.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini mengulangi pendiriannya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM yang disandang sejak 2014, sekali gus menyaksikan FAM memutuskan supaya pemilihan penggal baharu jawatankuasa eksekutif diawalkan dari 2018 ke tahun ini.

calon kongres FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain