suria

Ken Illso Larsen Minta Maaf Kepada Penyokong Kedah

"SAYA minta maaf kepada penyokong Kedah kerana tidak dapat beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Perlis di Kangar Jumaat lalu."

Itu luahan penyerang import Kedah, Ken Illso Larsen selepas tidak dapat membuat penampilan pertama dalam perlawanan persahabatan kerana mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, penyerang kelahiran Denmark itu memberitahu, dia akan beraksi dalam perlawana pramusim seterusnya iaitu menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa malam.

Menurutnya, pada perlawanan lalu, dia mendapat nasihat doktor untuk berehat bagi memastikan kecederaan pada bahunya pulih sebaik mungkin.

"Saya tidak menghadapi kecederaan serius untuk kembali ke atas padang dan kecederaan bahu ini hanya bersifat sementara saja.

"Saya yakin dapat membantu Kedah dengan sebaik mungkin apabila mendapat bantuan daripada seluruh rakan sepasukan. Mereka adalah pemain terbaik.

"Saya juga agak teruja untuk bermain untuk Kedah. Saya telah menjalani latihan bersama dan ingin memberi yang lebih baik dalam perlawanan pramusim ini," katanya kepada mStar Online.

Dalam perlawanan menentang Perlis Juamaat lalu, Kedah berjaya menewaskan pasukan tuan rumah 4-1 hasil jaringan Fakri Saarani (2) selain Baddrol Bakhtiar dan Halim Shaar.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru, dua pemain pertahanan dari Korea Selantan iaitu Ahin Jae Hoon dan Jang Suk Kwon bakal merebut tempat yang ditinggalkan Bang Seung Hwan.

Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berkata, beliau akan memberi peluang kepada pemain pertahanan dari Korea Selatan itu untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Saya tidak menilai mereka berdasarkan keputusan perlawanan sebalinya corak permainan mereka. Kesungguhan mereka antara perkara penting untuk bergelar pemain Kedah.

"Mereka juga perlu serasi dengan pemain yang ada selain menjadi benteng pertahanan Kedah lebih ampuh," jelasnya.

Kedah, Denmark, Perlis

Artikel Lain