suria

Jangan Jadi Liabiliti Kepada Parti, Kata TMJ Kepada Annuar

Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Tunku Ismail.
PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Isnin mengingatkan Tan Sri Annuar Musa supaya tidak menjadi liabiliti kepada parti pemerintah.

Tunku Ismail turut mengingatkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Ketua Penerangan Umno itu, bahawa Johor adalah sebuah kubu kuat Umno.


"Tarikh untuk rakyat negara keluar mengundi sudah hampir, oleh itu jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya.

"Kepada Tan Sri, jangan jadi liabiliti kepada parti anda. Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti. Ingatlah bahawa anda berkhidmat kepada rakyat," kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail berkata ramai sedia maklum bahawa Annuar telah membina Kafa sejak awal lagi.

Oleh itu, beliau berkata, Annuar juga perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan dan ketidak urus Kafa hari ini. 

Beliau berkata Annuar seharusnya melupakan hasrat untuk menerajui bola sepak Malaysia, apabila beliau menjadi orang pertama meninggalkan pasukannya apabila berdepan masalah.

"Janganlah Tan Sri bagaikan nakhoda bertempiaran lari meninggalkan bahtera bila berhadapan ombak besar.

"Sedangkan Kafa pun Tan Sri tak boleh nak urus, elok Tan Sri lupakan hasrat menerajui bola sepak negara," katanya.

Mengenai komen Annuar bahawa JDT  telah merosakkan pasaran bola sepak Malaysia dengan membayar gaji pemain terlalu tinggi, beliau berkata perkara ini 'terpulang kepada JDT'.

"Sistem bola sepak negara kita kini sudah berdaya maju, dan tidak wujud mengenai pasukan lain tidak mampu untuk bersaing atau beraksi dalam liga.

"Ianya berkenaan dari kebijaksanaan mengurus wang. Ianya satu perkiraan yang mudah, JDT paling ramai boleh mendaftar dalam 27 hingga 30 orang pemain tempatan sahaja dalam satu masa.

"Berapa ribu pemain yang ada dalam negeri ni? Jikalau anda nak menandatangani pemain yang sama memanglah duit anda akan habis.

"Terpulang kepada JDT untuk membayar berapa tinggi sekalipun gaji pemain kami. Masih ada ramai lagi pemain lain yang boleh bermain dan tidak perlulah bersaing dengan JDT untuk mendapatkan pemain yang terbaik.

"Ikutlah kemampuan dan jangan sibuk bersaing dengan cara JDT," katanya.

Tunku Ismail juga berkata Annuar perlu memberi fokus kepada pengurusan Kafa terlebih dahulu sebelum memberi komen mengenai kelab dan negeri-negeri lain.

"Tidak payah buang masa untuk sibuk mengenai urusan pasukan atau kelab lain.

"Selesaikan dulu hutang piutang sebanyak RM6.7 juta terlebih dahulu sebelum bercakap hal-hal yang lain.

"Janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati," katanya.
Kafa, JDT, TMJ, Tan Sri Annuar Musa

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain