suria

PM Bantu Perlis Kekal Dalam Liga Malaysia - PFA

Rozabil Abdul Rahman

PETALING JAYA:  Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menerima khabar gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk membantu mengurangkan masalah kewangan yang dihadapi pasukan itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Sebelum ini Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman meluahkan hasrat untuk menarik diri daripada menyertai Liga-M gara-gara masalah kewangan dalam pasukan tersebut.

Rozabil berkata, beliau berterima kasih di atas keprihatinan PM dalam membantu mengurangkan masalah yang dihadapi persatuan ini.

"Dan ini bukan kali pertama perdana menteri membantu PFA. Sebelum ini pun beliau banyak membantu dari segi kewangan kepada kami.

"Saya juga turut berterima kasih kepada beberapa pihak lain yang tampil ingin membantu PFA dalam menghadapi saingan musim depan seperti Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs), Pemuda Umno Perlis dan Gerakan Belia 4B Perlis.

"Saya amat berbesar hati dan itu sahaja jalan terbaik buat PFA untuk terus menyertai Liga Malaysia tahun depan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Rozabil yang kini berada di luar negara berkata, persiapan Perlis kini berjalan lancar di bawah jurulatih baharu Razip Ismail yang menggantikan Dollah Salleh.

"Saya akan kembali ke negara minggu depan, dan bakal muktamadkan mengenai senarai pemain," tambahannya.

Pada Selasa, penasihat PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan bahawa Perdana Menteri bersetuju untuk membantu pasukan ketika mesyuarat kabinet minggu lalu, namun tidak menjelaskan jumlah bantuan yang akan diberikan.

Sebagai rekod, skuad Singa Utara menamatkan saingan Liga Perdana ditempat keenam keseluruhan ketika di bawah bimbingan jurulatih Dollah musim lalu.

Datuk Rozabil Abdul Rahman, PFA

Artikel Sebelum

Artikel Lain