suria

Pelesenan Kelab Penting Demi Masa Depan Bola Sepak Negara - FMLLP

PETALING JAYA: Selepas hampir setahun Football Malaysia Liability Limited Partnership (FMLLP) mengambil-alih pengurusan perjalanan Liga Malaysia, banyak yang diperkatakan bagi peminat sukan tanah air tentang baik buruk entiti swasta itu.

Isu pengagihan tiket, pengaturan jadual perlawanan dan pembahagian hak penyiaran televisyen antara perkara berbangkit yang disuarakan oleh, tidak kira sama ada, pemilik kelab, pengurus, presiden mahu pun pemerhati sukan sepanjang tempoh FMLLP 'menguji' keberkesanan proses peralihan penswastaan Liga Malaysia dan kelab.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, kesemua kritikan tersebut diterima dengan baik memandangkan ini merupakan kali pertama pihaknya menguruskan sebuah liga yang sebelum ini dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sambil menyifatkan FMLLP memikul satu tanggungjawab yang besar, Kevin berkata, perkara paling menonjol yang dapat dilihat oleh beliau apabila mengendalikan entiti itu, adalah harapan yang tinggi diletakkan oleh ramai pihak untuk melihat perubahan drastik dalam pengurusan Liga Malaysia.

Jelasnya, pihak terbabit mengharapkan produk yang jauh berbeza berbanding sebelum ini sedangkan FMLLP baru menguruskan Liga Malaysia bagi tempoh kurang 12 bulan.

"Mereka mungkin melihat FMLLP sebagai 'quick fixer' (penyelesaian segera) untuk membawa perubahan besar dalam sukan bola sepak tanah air.

"Tetapi realitinya, FMLLP perlu berpegang kepada dasar untuk membawa perubahan seperti pemerolehan lesen kelab demi menjamin kemajuan bola sepak pada masa akan datang.

"Kita tidak boleh katakan musim pertama ini sempurna kerana kita sedar ada perkara yang perlu diperbaiki dan melaksanakan dengan lebih bagus, bukan sahaja pada musim kedua, tetapi musim seterusnya," ujarnya kepada mStar baru-baru ini.

Kevin juga menekankan kepentingan setiap kelab yang bertanding untuk mendapatkan lesen kelab di bawah konsep Pelesenan Kelab bagi merealisasikan proses penswastaan pasukan pada musim depan.

Dengan menganggarkan setiap pasukan sudah hampir mencapai tahap 80 peratus untuk mendapatkan lesen kelab, Kevin menyuarakan keyakinan bahawa FMLLP tidak berdepan masalah besar untuk melaksanakan tugas itu pada tahun pertama.

Mengulas tentang kebaikan konsep Pelesenan Kelab, beliau menjelaskan pengurusan setiap pasukan akan mengalami perubahan positif bagi tempoh jangka masa panjang terutamanya dalam soal kewangan kelab.

"Menerusi Pelesenan Kelab, FMLLP mahu setiap pasukan memandang ke hadapan dan membuat jangkaan pendapatan bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun berikutnya.

"Pelesenan Kelab adalah masa depan bola sepak kita dan perlu dilaksanakan secara positif.

"Ambil serius tentang pelesenan kelab demi memperbaiki pengurusan pasukan dan bukannya dengan mengatasi atau menukar peraturan," katanya.

Setakat ini hanya pasukan Johor Darul Ta'zim sahaja memiliki lesen kelab memandangkan pasukan Harimau Selatan itu menyertai perlawanan Piala AFC yang diiktraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pasukan lain diberi masa sehingga September 2017 untuk mendapatkan lesen tersebut tetapi FMLLP masih memberi ruang bagi pasukan yang gagal menepati tempoh yang diberikan dengan mengemukakan rayuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Shaw Perlu Lebih Matang - Neville

Artikel Lain