suria

Isu Panggil Balik Pemain: TMJ Ajar FAM Ikut Peraturan

PETALING JAYA: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil memberi kenyataan mengenai isu pemainnya yang dipanggil balik selepas menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Jumaat petang, Tunku Ismail memberitahu beliau mahu mengajar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mula mengikut peraturan yang ditetapkan Fifa dan negara-negara bola sepak yang maju di luar negara. 

"Mereka mahukan pemain berlatih lebih lama untuk persiapan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee. Jika diletakkan pemain berlatih empat bulan dalam skuad kebangsaan sekalipun, mereka tetap akan bermain 'stail' itu juga. Ini oleh kerana kualiti dan level yang ada pada Datuk Ong Kim Swee. 

"Sekiranya ada jurulatih antarabangsa yang ada rekod dan kejayaan, saya boleh benarkan pemain saya pergi untuk berapa lama sekalipun kerana saya tahu mereka boleh belajar. 

"Tetapi sekiranya dengan Datuk Ong Kim Swee, pemain saya tidak akan dapat belajar dengan lebih lagi kerana beliau bukannya dilantik berpandukan prestasi beliau tetapi kerana sikap pilih kasih oleh Exco FAM dan berkongsi gaji. 

"Jadi saya tidak mahu ulas lebih panjang kerana saya tahu pada tahun hadapan, beliau tidak akan ada lagi. Pemain saya akan melapor diri empat hari sebelum perlawanan. Muktamad."

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut mengulas mengenai laporan pemain Kelantan yang hendak berhijrah ke Johor.

"Terus terang saya katakan, berita tersebut tidak benar. Saya ada empat atau lima pemain yang akan berpindah.

"Saya juga ada empat pemain yang akan berhijrah daripada luar negeri Johor, dan ada tiga pemain yang akan naik daripada pasukan JDT II. Dan siapa pemain tersebut yang akan datang ke JDT buat masa ini belum boleh saya dedahkan nama mereka tetapi saya mengesahkan bahawa tiada pemain daripada Kelantan. 

"Akan ada satu daripada Sarawak, satu daripada T-Team, satu daripada PDRM dan dua daripada Selangor. Manakala tiga lagi daripada JDT II. Itu adalah muka-muka pemain baharu yang akan masuk ke dalam JDT. Ini belum 'confirm' lagi tetapi kita tengoklah nanti," jelasnya.

Malah Tunku Ismail turut menasihatkan seorang pemain Felda United supaya mencari pasukan lain.

"Ada seorang pemain Felda yang dahulu kononnya mengeluarkan kenyataan hendak membalas balik budi Irfan Bakti, kini tidak habis-habis menelefon Penyelaras Pasukan JDT,  Din Sabran untuk meminta agar dapat bertemu dengan saya untuk bermain semula dengan JDT. 

"Nasihat saya kepada mereka, pergilah balas balik jasa Irfan Bakti itu. Masa dahulu sewaktu kami berminat dan beri tawaran dengan cara profesional, dia kononnya hendak tunjuk hero, hari ini merapu-rapu mencari orang. 

"Saya dah mengalami isu ini daripada hari pertama saya ambil alih bola sepak. Jadi, kepada yang pernah kita bagi tawaran, kemudiannya menolak, dan mencari kita semula bagai nak gila, nasihat saya kepada mereka, pergi cari pasukan lain. 'Apabila kapal sudah belayar, kapal tersebut tidak akan berhenti.'

"Dalam pada itu juga, TMJ turut mengakui berbangga dengan JDT kerana telah berjaya bukan sahaja memenangi Liga Super Malaysia tiga kali berturut-turut, tetapi menjuarai Piala FA dan Piala Sumbangsih. 

"JDT beroleh tiga piala musim ini dan juga berada dalam peringkat separuh akhir Piala AFC. Jika berjaya ke peringkat akhir, Alhamdulillah. 

"Sekiranya tidak berjaya pun tidak mengapa kerana kami telah berjaya hingga ke saingan separuh akhir untuk dua tahun berturut-turut. 

"Itu adalah pencapaian yang patut kami hargai dan bersyukur kerana dari situ kita boleh menilai prestasi dan kedudukan kelab kita di peringkat antarabangsa," tambahnya.

TMJ, Tunku Ismail, JDT

Artikel Berikut

Artikel Lain