suria

Kedah Beri Peluang Kedua Kepada Bruno Lopes

PENYERANG yang sedang diuji, Bruno Lopes akan diberi peluang kedua unuk membuktikan kemampuan sebagai penjaring dalam perlawanan persahabatan antara Kedah menentang Perlis di Stadium Darul Aman, Rabu malam.

Pemain kelahiran Brazil itu telah diuji ketika perlawanan persahabatan menentang Persatuan Bola sepak India Malaysia (Mifa) dan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, jaringan itu belum cukup untuk memikat hati Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang sedang runsing memikirkan masalah penyudah skuad berkenaan.

Dalam perlawanan menentang Perlis, Lopes akan diuji oleh empat pemain import skuad Singa Utara yang tidak kurang hebatnya dengan dipimpin oleh bekas Jurulatih Harimau Malaysia, Dollah Salleh.

Cheng Hoe memberitahu, Lopes diharap akan beraksi dengan lebih baik setelah menjalani latihan bersama skuad berkenaan beberapa minggu lalu.

"Dia telah mengikuti latihan bersama pemain Kedah yang lain setiap hari. Kecergasannya juga sudah bertambah baik untuk dia buktikan kemampuan sebenar sebagai penjaring.

"Liridon Krasniqi akan diturunkan semula kerana dia telah pulih daripada kecederaan. Kita akan nilai gandingan ini, sama ada ia mampu memberi kesan dengan mendapatkan gol atau tidak.

"Kita juga terpaksa lupakan khidmat Syazwan Tajudin kerana dia perlu berehat panjang untuk menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan lutut," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe berkata, dalam sesi ujian kali ini, Lopes akan diturunkan sebagai penyerang tunggal supaya pemain tersebut dapat membuktikan dirinya sebagai penjaring gol.

Menurutnya, setakat ini juga, beliau belum dimaklumkan lagi mengenai kehadiran pemain import lain yang akan diuji oleh pihak pengurusan Persatuan Bola sepak Kedah (KFA).

"Oleh itu, Lopes akan diberi peluang ketiga dalam perlawanan seterusnya menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini sebelum keputusan untuk menerimanya dibuat.

"Saya menyerahkan keputusan mengenai pemain imort kepada pihak pengurusan untuk diputuskan selepas menilai dalam latihan dan perlawanan persahabatan," ujarnya.

Cheng Hoe selain itu turut memuji persembahan pemain muda yang sentiasa bersemangat untuk mempamerkan aksi terbaik bagi meletakkan diri mereka dalam kesebelasan utama.

Katanya, sikap berkenaan perlu dikekalkan kerana persaingan itu akan membawa mereka ke tahap lebih baik sebagai pemain bola sepak.

Kedah, Brazil

Artikel Lain