suria

Al Jufferi, Pandelela Dinobat Olahragawan & Olahragawati Kebangsaan 2015

Pandelela dan Mohd Al Jufferi bersama trofi Olahragawan dan Olahragawati 2015 yang diterima pada Malam Anugerah Sukan Negara, Rabu.

KUALA LUMPUR: Ratu terjun Pandelela Rinong Pamg dan pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2015 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Rabu malam.

Pandelela melakar rekod terbaik tahun lalu apabila memenangi pingat gangsa acara 10m platform di Siri Terjun Dunia di Kanada dan Kejohanan Akuatik Dunia ke-16 di Kazan, Rusia.

Kejayaan itu sekali gus menjadikannya sebagi atlet pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik 2016. Malah anugerah ini merupakan yang ketiga buat atlet kelahiran Sarawak ini selepas memenanginya pada 2011 dan 2012.

Sementara itu, Al-Jufferi yang merupakan pesilat kelahiran Pahang cemerlang mengharumkan nama negara setelah menang emas Kejuaraan Silat Dunia Kelas Putra E. Pesilat itu turut mempertahankan pingat emas di Kejuaraan Silat Terbuka Belgium.

“Terima kasih kepada semua yang terus menyokong saya selama ini. Sudah tentu ia mampu menaikkan semangat dalam mengharungi cabaran getir di Rio tidak lama lagi.“Saya berjanji untuk kekal dengan gelaran ini dengan memberi pingat di Sukan Olimpik nanti.

“Saya harap semua akan mendoakan kejayaan saya,” kata Pandelela selepas menerima trofi yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Manakala Mohd Al Jufferi yang dilihat terkejut dengan anugerah ini mengucapkan terima kasih kepada kedua ibi bapanya yang sentiasa mendoakan kejayaannya.

“Juga terima kasih kepada semua termasuk jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dengan memberi peluang untuk memartabatkan sukan ini di persada antarabangsa,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada ASN tahun lalu, anugerah utama ini dirangkul oleh jaguh bina badan, Sazali Samad dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David.



Pandelela dan Mohd Al Jufferi bersama Felicia dan Mohamad Ridzuan dengan trofi kemenangan masing-masing.

Senarai penuh pemenang ASN 2015:

Olahraragawan Kebangsaan: Mohd Al Jufferi Jamari - silat

Olahragawati  Kebangsaan
: Pandelela Rinong Pamg - terjun

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan:
Filicia Mikat - Olahraga

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan
: Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi - Olahraga

Pasukan Wanita Kebangsaan: Pasukan Wanita Memanah Compound Kebangsaan

Pasukan Lelaki Kebangsaan: Pasukan Memanah Lelaki Compound

Jurulatih Kebangsaan Wanita: Norsham Yoon - olahraga (para)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan : Nasri Nasir -Silat 

Kepimpinan Sukan: 

Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim -Pelayaran

Datuk Yeoh Choo Hock -Bola Keranjang

Tokoh Sukan

Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid

Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain