suria

JDT Mara Ke Suku Akhir, Benam Kaya FC 7-2

Pemain JDT, Juan Lucero mengasak pemain Kaya FC, Antonio Ugarte pada saingan kalah mati Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam Rabu. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor apabila menang besar 7-2 ke atas Kaya FC dari Filipina pada saingan 16 pasukan terbaik Piala AFC, malam Rabu.

Kemenangan yang dilakar dihadapan ribuan penyokong sendiri itu membolehkan JDT mara ke suku akhir Piala AFC.

Pasukan kendalian Mario Gomez itu membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi sepakan percuma Juan Martin Lucero.

Tuah beraksi di gelanggang sendiri ternyata berpihak kepada JDT apabila Jorge Pereyra Díaz melengkapkan gol kedua pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pada ke-23.

Pemain sayap JDT, Azammuddin Akil terus meletakkan pasukan itu pada kedudukan selesa apabila meledak gol ketiga pada minit ke-32 sebelum melengkapkan gol keempat pada minit ke-39.

Bersambung ke babak kedua perlawanan, Kaya FC bangkit menjaringkan satu gol menerusi pemain tengahnya, OJ Porteria pada minit ke-53.

Namun Lucero menebus gawang JDT yang bolosi itu dengan menjaringkan gol kelima pasukan tidak sampai seminit selepas Porteria membuka jaringan.

Selang 15 minit kemudian, Mahali Jasuli menambah gol keenam sebelum Lucero melengkapkan gol ketujuh pasukan.

Pasukan lawan juga enggan menyerah kalah apabila menjaringkan gol kedua menerusi pemain tengah Antonio Ugarte ketika perlawanan berbaki satu minit.

JDT atau lebih dikenali sebagai skuad Harimau Selatan, mara ke pusingan kedua yang menggunakan format kalah mati atas tiket juara Kumpulan H manakala Kaya FC adalah naib juara Kumpulan F.

Skuad Harimau Selatan itu adalah wakil tunggal negara yang mara ke pusingan kedua selepas juara Piala Malaysia, Selangor sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan E, apabila tewas 0-1 di tangan Tampines Rovers dari Singapura, ketika hanya memerlukan seri untuk muncul naib juara.


JDT, Kaya FC, Piala AFC

Artikel Lain