suria

Ivan Kejutkan Pilihan Utama Untuk Ke Suku Akhir

Ivan Yuen.

KUALA LUMPUR: Pemain negara, Ivan Yuen mara ke suku akhir selepas mengejutkan pemain pilihan utama, Max Lee pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Antarabangsa Hong Kong Football Club (HKFC) di Hong Kong, Rabu.

Yuen mengambil masa 69 minit untuk menyingkirkan pemain tuan rumah itu dengan keputusan 9-11, 11-6, 11-5, 7-11 dan 11-7.

Menurut laman web skuasy; www.squashsite.co.uk., Yuen akan bertemu pemain Australia, Rex Hendrick pada saingan suku akhir, Khamis.

Pada perlawanan pusingan pertama, Hendrick mengalahkan pemain tuan rumah, Tsz Fung Yip 5-11, 3-11, 11-8, 11-3 dan 11-4.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain negara, Mohd Nafiizwan Adnan turut melangkah ke suku akhir selepas menundukkan pemain India, Mahesh Mangaonkar 11-2, 14-12 dan 11-7.

Dalam kategori wanita, Delia Arnold merupakan wanita tunggal negara layak ke suku akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Vanessa Chu 11-9, 11-2, dan 11-2 manakala Low Wee Wern kalah kepada pemain India, Dipika Pallikal 1-11, 3-11 dan 1-11.

Menurut format pertandingan, pemenang pusingan pertama layak ke peringkat suku akhir. - BERNAMA

skuasy, Ivan Yuen, HKFC

Artikel Berikut

Artikel Lain