suria

Benitez Kekal Sebagai Pengurus Newcastle

Rafael Benitez.

RAFAEL Benitez dilaporkan bersetuju untuk kekal sebagai pengurus Newcastle United yang bakal berentap dalam saingan Liga Kejuaraan musim depan.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu akhirnya membuat keputusan untuk kekal lebih lama selepas menerima jaminan daripada pemilik The Magpies, Mike Ashley mengenai bajet pasukan itu.

Benitez dipercayai menerima tawaran kontrak selama tiga tahun.

Beliau juga akan dilantik sebagai pengendali tetap Newcastle lewat petang Rabu meskipun gagal menyelamatkan pasukan itu daripada zon penyingkiran.

Bekas pengurus Real Madrid itu akan kekal di St James Park selepas mahu kontraknya diteliti semula dengan pengguguran klausa yang membenarkan beliau meninggalkan kelab jika kelab berdepan penyingkiran.

Malah, Benitez turut diberi kuasa untuk terlibat sepenuhnya dalam proses pembelian pemain baharu untuk pasukan itu.

"Saya pernah katakan saya amat terbuka dan gembira dengan segala-galanya, kakitangan semuanya, kini ia hanya untuk memastikan kita perlu melakukan apa yang sepatutnya bagi membolehkan kita berada di atas jika saya kekal di sini," kata Benitez.

Menurut laporan media, perjanjian kontrak baharu Benitez dijangka mengambil masa selama beberapa hari untuk disiapkan kerana ia melibatkan perubahan teknikal undang-undang.



Rafael Benitez, Newcastle United

Artikel Lain