suria

Pemain Perlu Bijak - Tan Cheng Hoe

BARISAN penyerang Kedah dinasihat menggunakan kebijaksanaan ketika mendapat peluang untuk menjaringkan gol jika mahu menewaskan Perak dalam saingan Liga Super di Ipoh pada Sabtu.

Nasihat itu diberikan Ketua Jurulatih skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe, bagi memastikan pemain Kedah dapat memanfaatkan peluang menjaring gol sebaik mungkin dan tidak mengulangi kesilapan sebelum ini.

Menurutnya, barisan pemain dilihat berjaya mengamalkan corak permainan yang ditetapkan jurulatih namun mereka masih mempunyai kekurangan untuk melakukan penyudah dengan baik sehingga menghampakan pengurusan dan peminat.

"Perubahan dari segi penyudah dapat dilihat apabila Kedah menang 8-0 dalam saingan Piala FA baru-baru ini. Tetapi mereka perlu lebih yakin ketika berada di depan gol lawan khususnya dalam saingan Liga Super yang belum dibuktikan.

"Mereka perlu menggunakan kebijaksanaan dan yakin untuk menjaringkan gol kerana setiap peluang tidak diperolehi dengan mudah dan tidak selalu muncul.

"Perak bukanlah lawan yang mudah dijinakkan kerana mereka juga kini berkeyakinan tinggi setelah mengecewakan Sarawak 3-1 pada perlawanan Piala FA di Ipoh. Namun kesungguhan pemain Kedah memburu gol selama 90 minit permainan sahaja dapat memberikan kemenangan nanti," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, beliau dapat menarik nafas lega apabila ketua pasukan, Khyrul Helmi Johari yang mengalami kecederaan kembali cergas untuk membentuk benteng ampuh.

"Kehadiran Khyrul Helmi mampu memantapkan lagi benteng pertahanan kita untuk menyekat kemaraan pasukan tuan rumah.

"Semua pemain kini berada dalam keadaan cergas sepenuhnya dan mampu dibariskan dalam kesebelasan utama, mereka hanya perlu elak melakukan kesilapan kerana ia boleh menghukum kita.

"Perlu diingat dalam saingan Liga Super musim ini, tiada perlawanan mudah untuk Kedah. Setiap pasukan melakukan persediaan rapi untuk muncul juara," jelasnya.

Kedah, Perak, Liga Super

Artikel Sebelum

TMJ Bertemu Presiden PSG Di Doha

Artikel Berikut

Artikel Lain