suria

Liga Super: Felda Mengganas Dalam Diam

Pemain-pemain Felda United merai kemenangan pada aksi sebelum ini.

PETALING JAYA: Kelab Bola Sepak Felda United berjaya membuktikan bisa pasukan itu apabila masih mendahului kedudukan carta Liga Super selepas dua perlawanan musim ini.

Dengan rekod dua kemenangan berturut-turut ke atas Kedah (2-0) dan Sarawak (2-1) pastinya telah menggandakan semangat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

Sentuhan konsisten jurulatih berpengalaman itu setakat ini seolah-olah memberi amaran awal kepada pasukan lain tentang kehadiran mereka musim ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

"Saya tidak ada formula istimewa untuk bertahan konsisten setakat ini. Mungkin pemain import tahun ini lebih baik yang turut membantu pasukan.

"Selain itu moral tinggi semua pemain yang ditunjukkan dalam dua perlawanan sebelum ini membuat kami berada di situ," jelasnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Jurulatih kelahiran Perak berusia 64 tahun itu tiba di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) pada Jumaat bagi menunggu kedatangan pasukan pelawat,  Terengganu FC II .

"Semua pemain berada dalam keadaan baik, cuma pada perlawanan esok (Sabtu) Christie Jayaseelan  tidak dapat beraksi kerana kecederaan hamstring.

"Saya mahu pemain-pemain tidak memandang rendah kepada pihak lawan dan perlu bekerja kuat untuk mencapai kemenangan.

"Dalam bola sepak, tidak ada jalan pintas kecuali berusaha," tambahnya yang telah membimbing Felda United sejak 2013.

Antara pemain import baharu yang beraksi bersama The Fighters musim ini antaranya Agilberto Carlos Marangoni Filho (Brazil) dan Lutfulla Turaez (Uzbekistan) selain dua pemain lama, Thiago Augusto Fernandes (Brazil) serta Zah Rahzan Krangar (Liberia).


Felda United, Irfan bakti

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain