suria

LTdL 2016: Lopez Takluk Pendakian Mencabar Peringkat Keempat

Miguel Angel Lopez Moreno (tiga, kanan) menyarung jersi kuning (pendahulu keseluruhan) manakala rakan sepasukannya Andrea Guardini (dua, kanan) menyarung Jersi Teal (Raja Pecut). Pelumba Hengxiang Cycling Team, Wang Meiyin (tiga, kiri) pula menyarung Jersi Polkadot Merah (Raja Bukit) manakala pelumba Pasukan Terengganu Cycling Team TSG, Muhammad Adiq Husainie Othman (dua, kiri) jersi putih (Juara Asia) pada peringkat keempat Ipoh-Tanah Rata perlumbaan LTdL pada Sabtu. Foto:Bernama

CAMERON HIGHLANDS: Pelumba Astana Pro Team dariKazakhstan, Miguel Angel Lopez Moreno membuktikan kemampuan menakluk pendakian mencabar di Cameron Highlands apabila menjuarai peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016, Sabtu.   

Pelumba berusia 22 tahun dari Colombia itu, yang membuat penampilan pertama pada LTdL, mencatat masa 3 jam 25 minit 37 saat sejauh 129.4km dari Ipoh ke Cameron Highlands, yang berada pada kedudukan 1,450 meter dari paras laut.

Rakan senegaranya, Daniel Alexander Jaramillo Diez dari United HealthCare ProCycling Team, menduduki tempat kedua setelah ketinggalan 30 saat, manakala pelumba Afrika Selatan, Reinardt J V Rensburg dari pasukan Dimension Data ditempat ketiga, 35 saat di belakang Lopez.

Kemenangan hari ini menyaksikan Lopez merampas jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada rakan sepasukan, Andrea Guardini dari Itali, yang masih mengekalkan jersi Teal sebagai Raja Pecut setelah mengumpul 38 mata selepas empat peringkat perlumbaan.

Pelumba China, Wang Meiyin yang mewakili Hengxiang Cycling Team, yang pernah menakluk laluan yang sama hari ini pada peringkat ketiga LTdL 2013, dalam pada itu mengekalkan jersi Polka Dot selaku Raja Bukit, namun kehilangan jersi Putih sebagai pelumba terbaik Asia, kepada pelumba Malaysia, Muhamad Adiq Husainie Othman daripada Terengganu Cycling Team.

Sementara itu, pelumba veteran negara Loh Sea Keong yang mewakili skuad kebangsaan Malaysia, dinobat pelumba paling agresif buat kali kedua pada LTdL 2016 selepas memenanginya pada peringkat kedua dari Sungai Petani ke GeorgeTown, Khamis lepas. 

Bercakap pada sidang media, Lopez berkata dia sangat gembira dengan kemenangan pertamanya di Malaysia itu, yang sudah semestinya membakar semangat bagi beliau meraih lebih banyak kejayaan pada peringkat seterusnya.

"Kejayaan itu amat penting dan sudah pasti membantu saya memulakan tahun baru ini dengan prestasi terbaik, dan saya berharap dapat mengekalkan jersi Kuning sehingga ke peringkat akhir perlumbaan," kata pelumba dari Colombia itu.

Lopez berkata beliau akan menyertai dua perlumbaan di Sepanyol - Volta Catalunya dan Jelajah Basque a Country, selepas LTdL sebelum bersaing di kejohanan berprestij, Vuelta a Espana, yang dijangka berlangsung pada Ogos.  

Wang dalam pada itu, yang tekad mengekalkan jersi Polka Dot pernah dimenanginya pada edisi 2013, berhasrat merampas kembali jersi Putih daripada pelumba Terengganu Cycling Team, Muhamad Adiq Husainie Othman.

Peringkat kelima LTdL 2016 dari Tapah ke Kuala Lumpur, Ahad, melibatkan perlumbaan sejauh 148.8km, meliputi tiga zon pecutan di Slim River, TanjungMalim dan Rawang, serta tiga zon pendakian di Trolak, Hulu Yam dan Selayang. -Bernama

LTdL 2016, Lopez Moreno

Artikel Berikut

Artikel Lain