suria

Tiada Jaminan Malaysia Jadi Tuan Rumah Piala Suzuki 2016

PETALING JAYA: Tiada jaminan automatik buat Malaysia untuk menjadi penganjur Piala Suzuki AFF 2016 selepas Filipina menarik diri daripada tugas itu.

Menurut Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad, masih terdapat dua lagi calon menunggu untuk menjadi hos, Singapura dan Vietnam.

Pada mulanya, dua negara yang menjadi tuan rumah pada pada kejohanan yang akan berlangsung November hingga Disember ini adalah Myanmar dan Filipina.

Namun, pada Rabu lalu, Persekutuan Bolasepak Filipina (PFF) menarik diri manakala satu lagi mengalami masalah kontrak.

Jelas Azzuddin, Jawatankuasa Pertandingan AFF bakal mengadakan perjumpaan di Phnom Penh pada 7 Mac ini bagi memilih hos baru.

Keputusan pemilihan tersebut akan diumumkan oleh Majlis AFF di Da Nang, Vietnam pada 12 Mac.

Bekas setiausaha agung Persatuan Bola Malaysia (FAM) itu berkata, walaupun Singapura dan Vietnam pernah menjadi hos pada aksi 2014, ia tidak menjamin Malaysia untuk mendapat tugas ini.

"Sebelum ini terdapat negara yang menjadi tuan rumah berturut-turut. Jadi tidak ada jaminan pasti  siapa akan dapat tugas ini," jelas Azzuddin pada Khamis.

Tambah beliau, AFF sentiasa bersedia dengan perancangan luar jangkaan dengan meletak tiga nama negara dalam senarai menunggu.

Selain itu, ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee berharap Malaysia akan menang untuk bidaan menjadi tuan rumah kejohanan ini.

"Sudah tentu kelebihan menjadi tuan rumah merupakan peluang besar kepada skuad negara.

"Apa yang kita tahu, Singapura dan Vietnam sudah menjadi hos pada tahun 2014. Jadi kita ada peluang yang baik," jelasnya.

Malaysia bersama Thailand pernah menjadi tuan rumah kejohanan  ini pada tahun 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain