suria

Rayuan Perlu Menerusi Jawatankuasa Olimpik Negara - Beng Choo

KUALA LUMPUR: Persatuan sukan dari 11 negara Asia Tenggara yang tidak berpuas hati dengan senarai sukan dan acara bagi Sukan SEA 2017 perlu mengemukakan rayuan menerusi Jawatankuasa Olimpik negara masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Peraturan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Datuk Low Beng Choo berkata setakat ini pihaknya menerima 40 rayuan secara lisan dan menjangka ia akan melebihi 100 sebelum tarikh akhir pada Mac ini.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai isu olahraga tidak akan diberi kebenaran oleh Persatuan Olahraga Asia (AAA) kerana saya belum mendengar daripada mereka,"katanya kepada Bernama mengenai kemungkinan ia tidak mendapat pengiktirafan daripada badan induk rantau ini.

"Kami gembira semua anggota SEAGF sebulat suara menerima senarai 34 jenis sukan dan 342 acara dalam senarai awal kita. Namun ini bukan senarai akhir,mereka masih ada masa merayu dengan disertai justifikasinya.

"Ini adalah proses biasa Sukan SEA, sama seperti ketika Sukan SEA Singapura apabila karate digugurkan. Persatuan sukan perlu merayu menerusi Jawatankuasa Olimpik negara masing-masing," kata Beng Choo yang juga Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Pada Rabu, sebuah akhbar harian tempatan berbahasa Inggeris melaporkan AAA dijangka tidak mengiktiraf Sukan SEA 2017 berikutan ketiadaan lapan acara iaitu maraton, 10,000m dan 3,000m lari berhalangan (lelaki dan wanita), decatlon (lelaki) dan heptatlon (wanita) daripada 46 acara yang dipertandingkan.

Sementara itu, akhbar Singapura hari ini memetik Setiausaha Kehormat AAA, Maurice Nicholas sebagai berkata tuan rumah temasya itu tidak dibenarkan menggugurkan sebarang acara.

"Apabila anda menganjurkan Sukan SEA, anda perlu adakan semua acara. Jika anda bertegas menggugurkannya, kami tidak akan memberikan pengiktirafan.

"Mereka memberikan alasan tidak boleh memenangi pingat. Tapi orang lain menjalani latihan keras, bagaimana anda boleh menafikan hak mereka?" katanya dalam akhbar 'Today'.

Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), M. Iyaru ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya bersetuju dengan senarai 22 acara trek dan 16 acara padang untuk temasya dwitahunan yang dijadualkan dari 19-31 Ogos sempena sambutan ke-60 kemerdekaan negara.

"KOM ada mengadakan mesyuarat dengan MOM minggu lepas...kami setuju dengan senarai yang disediakan MOM sebagai badan induk sukan negara. Kami tidak akan mengemukakan rayuan.

"Kami akan beri tumpuan untuk mendapatkan keputusan yang baik berbanding edisi lalu di Singapura," katanya.

Senarai 22 acara trek itu ialah 100m, 200m, 400m, 800m, 1,500m, 5,000m,4x100m, 4x400m dan 400m berpagar (lelaki dan wanita), 110m berpagar lelaki, 100m berpagar wanita, 20km jalan kaki lelaki dan 10km jalan kaki wanita.

Acara padang pula membabitkan lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang,lompat bergalah, lontar peluru, lempar cakera, lontar tukul besi dan rejam lembing.

Sebagai rekod, Malaysia gagal memenangi sebarang pingat dalam lapan acara yang digugurkan itu pada temasya edisi 2013 Myanmar dan 2015 Singapura. -Bernama

Sukan SEA 2017

Artikel Lain