suria

Pengorbanan Besar Azmeer Demi Kedah

"PENGORBANAN tinggal berjauhan dengan isteri dan anak yang berada di Kuala Lumpur memang berbaloi apabila berjaya berada dalam kesebelasan utama pasukan Kedah," luah Azmeer Yusof.

Walaupun merindui keluarganya, namun bekas pemain Perak itu enggan membiarkan semangatnya untuk membantu skuad Helang Merah pada musim ini terhakis.

Malah pemain pertahanan berkenaan turut teruja untuk kembali beraksi di Ipoh sebagai pemain Kedah dalam saingan Liga Super pada Sabtu ini.

Menurutnya, kehidupan berjauhan dengan keluarga tersayang telah difikirkan selepas menerima tawaran daripada Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, pada akhir tahun lalu, namun perjuangan dan cita-cita perlu diteruskan.

"Memang saya rindukan isteri (Nur Syafika Nazeri) dan anak sulung yang baru dilahirkan, Nur Melissa Sofea yang berada di Kuala Lumpur, kerana isteri saya bekerja di sana. Walaupun jauh, saya tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Pada masa sama, sebagai seorang pemain bola sepak profesional, saya juga akan terus berusaha untuk membantu Kedah memperolehi kejayaan.

"Saya yakin dapat meningkatkan lagi permainan hasil tunjuk ajar jurulatih dan rakan sepasukan lain. Mereka prihatin terhadap diri saya dan inilah faktor yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk bersama Kedah sehingga mereka tidak lagi perlukan khidmat saya," katanya kepada mStar Online.


Min 6,Gol KEDAH dari Azmeer Yusof

Posted by The Red Eagle - Helang Merah on Friday, February 19, 2016

Jaringan Azmeer dalam saingan Piala FA.


Azmeer menambah, dia juga teruja dan tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan menentang Perak kerana skuad tersebut merupakan pasukan pertama yang diwakilinya dalam Liga Malaysia.

"Ketika ini hanya kejayaan pasukan Kedah sahaja dalam fikiran saya dan saya mahu memastikan kita mampu pulang dari Ipoh dengan membawa pulang tiga mata penuh.

"Ini bukan kerja mudah kerana  pemain Perak juga adalah yang terbaik dan mahu memastikan mereka tidak tewas di gelanggang sendiri. Kami perlu berusaha keras dalam perlawanan ini berdasarkan disiplin yang ditetapkan jurulatih," tegasnya.


Kedah, Azmeer Yusof

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gol Milner Bantu Liverpool Mara

Artikel Lain