suria

Mental, Fizikal Badrul Semakin Positif - Jurulatih

PETALING JAYA: Drama pahit yang dilalui pelari pecut negara Badrul Hisham Abdul Manap tahun lalu tidak mematahkan semangatnya untuk mendapatkan kejayaan lebih baik pada 2016.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim mengakui mental anak didiknya itu agak 'down' selepas mengetahui rekod 100 meter, 10.29 saat  yang dicatat di Sekolah-sekolah ASEAN di  Brunei tahun lalu tidak sah kerana tuan rumah tidak mengikut spesifikasi yang ditetap oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Walaupun Badrul kelihatan tenang, hakikatnya ia telah memberi kesan psikologi kepadanya.

"Memang dia kecewa tetapi semuanya dapat dilupakan dan sekarang prestasi Badrul semakin baik dan konsisten.

"Mental dan fizikal dalam keadaan memuaskan menjelang aksi pertamanya pada Terbuka Pahang Mac ini.

"Malah ketika sesi latihan dia berjaya mencatat rekod terpantas 10.01 saat dan saya berharap masa ini akan konsisten," jelasnya selepas majlis tajaan pakaian sukan Puma kepada Badrul, Selasa.

Menurut Mohd Poad, Badrul bakal menyertai beberapa kejohanan penting tahun ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Saya tidak menetapkan sasaran peribadi kepada Badrul kerana ia akan memberi tekanan kepadanya.

"Apa yang selalu saya pesan adalah lakukan yang terbaik.

"Selain Terbuka Pahang, Badrul dijangka akan menyertai Terbuka Australia dan Remaja Asia di Vietnam pada Jun ini sebelum Sukan Malaysia pada Julai ini," katanya yang mula melatih Badrul sejak berusia 10 tahun.

Dalam pada itu, Badrul, 19, mengakui teruja dengan tajaan dari pihak Puma selama setahun dan dianggap sebagai penyuntik semangatnya.

"Ini kali pertama saya mendapat tajaan besar dan pastinya ia  semangat untuk mencatat rekod lebih baik.

"Tahun ini saya menyasarkan untuk memecah rekod 100 meter dan 200 meter kebangsaan pada Terbuka Pahang bulan depan.

"Saya mahu lebih fokus untuk melakukan 10.25s sekaligus memecah rekod lama (10.30s milik Watson Nyambek)," katanya.

Selain itu, Badrul memberi tempoh empat tahun  untuk dirinya membuat persiapan agar layak bersaing pada Sukan Olimpik 2020.

"Sasaran peribadi saya pada umur 23 tahun, saya layak berlari di Sukan Olimpik. Jadi dalam tempoh itu saya akan cuba menyertai sebanyak mungkin kejohanan tempatan dan antarabangsa bagi menilai prestasi semasa," tambahnya.

badrul Hisham, 100 meter

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain