suria

Sandro Yakin Dapat Jaringkan Gol

"SAYA yakin mampu jaringkan gol," itulah keyakinan yang diluahkan oleh pemain tengah Kedah, Sandro Da Silva bagi mengakhiri masalah penyudah pasukan itu ketika bertemu Megah Murni dalam saingan Piala FA pada Jumaat.

Pemain import dari Brazil itu merupakan penjaring terbanyak Kedah pada musim lalu.

Menurutnya, walaupun memiliki banyak peluang untuk mendapatkan gol dalam perlawanan Liga Super sebelum ini, namun itulah ujian seorang pemain apabila berhadapan sasaran yang perlu disempurnakan.

"Inilah bola sepak, ada masa sangat mudah untuk menjaringkan gol tetapi pada satu masa lagi begitu sukar untuk bola melepasi garisan gol ataupun menepati sasaran. Dua perlawanan lalu nasib tidak menyebelahi saya kerana gagal mencatatkan nama sebagai penjaring.

"Dengan bantuan rakan sepasukan dalam perlawanan kali ini, saya yakin mampu menjarngkan gol untuk akhiri kebuntuan sebelum ini. Keyakinan saya bukan kerana bertemu pasukan kerdil Liga Piala FAM seperti Megah Murni tetapi kerana kini sudah tiba masa untuk saya menjaringkan gol.

"Jaringan pertama pada setiap musim memang sukar tetapi kalau sudah berjaya merobek gawang lawan keyakinan diri akan bertambah dan tugas menjaringkan gol akan menjadi lebih mudah. Saya hanya perlu menjaringkan gol bagi mengembalikan keyakinan serta ketajaman di hadapan pintu gol lawan," kata kepada mStar Online.

Sandro menambah, dia kini mampu menarik nafas lega apabila rakan senegaranya, Carlos Kahe berjaya menjaringkan gol pertaman dalam perlawanan bertemu Terengganu Selasa lalu.

"Kami tidak akan menganggap lawan seperti Megah Murni sebagai pasukan yang mudah diratah kerana mereka telah membuktikan kemampuan dengan menjinakkan Mifa.

"Saya rasa tidak ada yang tidak kena pada corak dan rentak permainan kami. Apa yang ada hanya  hanya sedikit kelemahan di bahagian serangan. Saya yakin ini mampu diatasi dari satu perlawanan ke satu lagi, pada perlawanan pertama kita gagal menjaringkan sebarang gol tetapi pada perlawanan kedua satu gol berjaya dihasilkan," ujar Sandro.

Jelasnya, para pemain hanya perlu menepati sasaran dan saling memahami untuk mendapatkan kejayaan dalam setiap perlawanan.

Kedah, Sandro Da Silva

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain