suria

Sukan SEA: MOM Umum 34 Sukan, 342 Acara

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan 34 jumlah sukan membabitkan 342 acara, dipilih oleh Jawatankuasa Teknikal badan induk itu untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

"Ini cadangan pertama dari Malaysia selaku jawatankuasa penganjur (kepada Persekutuan Sukan SEA)," kata Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MOM berhubung Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di sini, Rabu.

Sukan berkenaan ialah olahraga, akuatik, memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kriket, berbasikal, ekuestrian, bola sepak dan futsal, golf, gimnastik, hoki, hoki ais, luncur ais, karate, boling padang, bola jaring, pencak silat, petanque, ragbi tujuh sebelah, pelayaran, sepak takraw, menembak, snuker dan biliard, skuasy, ping pong, taekwondo, tenis, tenpin boling, bola tampar tertutup, ski air, angkat berat dan wushu.

Kebanyakan acara sukan akan diadakan di Lembah Klang dengan beberapa acara di Putrajaya dan Nilai, kata Tunku Imran.

Tunku Imran berkata lima daripada 39 sukan yang disenaraikan sebelum ini, digugurkan daripada senarai pertama jumlah sukan tersebut.

Sukan itu ialah lawan pedang, judo, triathlon, bina badan dan kenu.

"Lima sukan yang tidak tersenarai dalam senarai pertama dan sukan-sukan lain mungkin membuat rayuan kepada MOM. Kami juga akan meneliti rayuan dari negara-negara lain (negara-negara Asia Tenggara)," kata Tunku Imran.

Senarai sukan itu akan dikemukakan pada Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), yang akan diadakan di sini pada 24 Februari ini.

"Kami membuat keputusan untuk mengumumkan senarai sukan itu seminggu lebih awal, sebelum mesyuarat SEAGF supaya semua pihak berpeluang berbincang dengan persatuan sukan kebangsaan di negara masing-masing.

"Sudah tentu ada rayuan dan kami akan melihat rayuan itu jika munasabah, minggu depan dan pada Julai apabila kita mengadakan mesyuarat majlis SEAGF kedua yang akan menentukan dengan tepat acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA ke-29. Kami perlu mengesahkan program sukan itu 12 bulan sebelum Sukan SEA 2017," kata Tunku Imran. 

Tunku Imran berkata senarai lengkap acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya sukan itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis SEAGF kedua pada 13 dan 14 Julai depan.

Sukan SEA ke-29 dijadual berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos, tahun depan.

Ia kali keenam Malaysia menganjurkan temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001. 

Temasya sukan dwitahunan itu akan melibatkan penyertaan dari 11 negara di rantau Asia Tenggara iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Myanmar, Singapura, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Malaysia.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain